Bekas Pegawai Tentera Didenda Atas Lima Tuduhan Menipu

Diterbitkan: Jumaat, 25 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Seorang bekas pegawai tentera berpangkat Mejar, Ahmad Jamaluddin, 44, didenda RM10,000 atas lima tuduhan menipu seorang lelaki membabitkan RM54,750 enam tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zairan Aman juga memerintahkan hukuman penjara 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selepas Ahmad mengaku bersalah atas lima tuduhan pilihan.

Dia didakwa menipu Johari Omar, 47, dengan menyerahkan dokumen palsu bagi kerja-kerja pembekalan di 92 DKP Batu Kentomen, Kuala Lumpur.

Bagi tuduhan pertama dia dituduh melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad cawangan Seberang Jaya memperdaya Johari, hingga mendorongnya menyerahkan wang RM19,750 pada 12.57 tengah hari, 21 Julai 2005.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memperdaya Johari menyerahkan wang RM6,000 di bank yang sama pada 12.37 tengah hari, 2 Ogos 2005.

Bagi tuduhan ketiga, Ahmad dituduh melakukan kesalahan di tempat yang sama pada 22 Ogos 2005 pada 11.36 pagi hingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang RM4,000.

Tuduhan keempat pula Ahmad dituduh melakukan kesalahan pada 9 September 2005 pada 12.57 tengah hari di tempat yang sama, memperdaya Johari menyerahkan wang RM5,000.

Kesalahan terakhir, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 September 2005 pada 3.12 petang di tempat yang sama memperdaya Johari menyerahkan wang RM20,000.

Ahmad didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ahmad diwakili peguam bela V. Pamela dan pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Iznina Hanim Hashim. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan