Suruhanjaya Siasatan Lantik Bekas Polis British Sebagai Pegawai Penyiasat

Diterbitkan: Khamis, 24 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat dan mengenal pasti punca kematian Teoh Beng Hock, pada Khamis mengumumkan pelantikan bekas polis British Michael Leslie Squires sebagai pegawai penyiasat.

Setiausaha suruhanjaya itu Datuk Saripuddin Kasim berkata Squires diberi segala kuasa berhubung dengan penyiasatan polis yang diberikan kepada pegawai polis dalam mana-mana kes boleh tangkap di bawah Bab XIII Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Katanya bekas polis British itu juga diberi kuasa untuk mengeledah mana-mana premis dan mengambil milik apa-apa artikel atau dokumen berkaitan dengan siasatan kematian setiausaha politik Exco Selangor itu.

Saripuddin yang membuat pengumuman itu sebelum prosiding dimulakan, berkata Squires, 59, merupakan warganegara British dan menyertai British Police Service pada 1971.

Katanya, Squires telah berkhidmat sebagai detektif konstabel di bahagian siasatan jenayah Liverpool dan terlibat dengan penyiasatan kes dadah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 1978.

"Pada 1984 beliau dipinjamkan kepada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong sebagai penyiasat kanan dan terlibat dengan menyiasat kes-kes rasuah di sektor awam dan swasta.

"Pada 1990 beliau berkidmat sebagai Ketua Penyiasat ICAC berhubung penipuan kad kredit yang melibatkan rasuah, pada 1994 berkhidmat sebagai Ketua Penyiasat ICAC dalam pengendalian informer dan operasi "undercover" (penyamaran) serta terlibat dalam melatih agensi-agensi di Hong Kong dan pada 2011 beliau bersara daripada ICAC Hong Kong dan menjadi konsultan kepada agensi-agensi penyiasat yang memerlukan khidmat beliau.

"Beliau telah mendapat pelbagai pengiktirafan daripada Ketua Eksekutif Hong Kong, Pesuruhjaya ICAC, Pengarah Perisikan Amerika Syarikat dan Pengarah Perkhidmatan Kastam Amerika Syarikat," katanya.

Selepas selesai makluman itu, Squires dibawa masuk ke mahkamah dan dibenarkan berada bersama-sama pihak lain di dalam prosiding.

Pelantikan Squires dibuat berikutan beberapa perkara yang tidak dilakukan oleh Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal sebelum ini seperti memeriksa cakera padat dan kamera video milik Teoh yang berada di dalam beg sandangnya.

Selain itu, Saripuddin turut memaklumkan bahawa Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis yang mewakili pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada inkues lalu telah mengesahkan untuk hadir memberi keterangan.

Dalam prosiding hari ini, Ahmad Nazri memberitahu bahawa beliau tidak dapat mengesahkan berapa bilangan pegawai SPRM yang berada di pejabat itu antara pukul 6 petang, 15 Julai 2009 hingga 2 petang pada 16 Julai 2009.

Katanya, kegagalan itu disebabkan rekod kad perakam masa yang tidak lengkap dan tiada kamera litar tertutup (cctv) di dalam pejabat itu.

Tambahnya maklumat siapakah yang terlibat di dalam siasatan kes Teoh juga diberikan oleh pegawai penyiasat SPRM Mohd Anuar Ismail dan menerusi maklumat itu beliau mendapati seramai 22 orang telah terlibat.

Berikutan itu Ahmad Nazri meminta analisis dilakukan ke atas Teoh untuk mengesan DNA antara 22 orang itu tetapi gagal.

Ditanya wakil Majlis Peguam N. Nahendran adakah beliau mengarahkan analisis dilakukan ke atas 22 pegawai tersebut bagi mencari DNA Teoh, Ahmad Nazri berkata: "Tidak."

Katanya terdapat seramai 67 orang bertugas di SPRM tetapi beliau tidak dapat memastikan maklumat keluar masuk kesemua mereka termasuklah mereka yang berada di pejabat pada hari kejadian.

Berikutan kenyataan Ahmad Nazri itu, pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengarahkan pihak SPRM menyerahkan maklumat pegawai yang keluar masuk pejabat SPRM dari pukul 6 petang 15 Julai 2009 hingga 2 petang keesokkannya.

Beliau juga mengarahkan supaya senarai nama pegawai yang terlibat dalam soal siasat Teoh diserahkan esok.

Selain itu Ahmad Nazri diminta mendapatkan semula rakaman cctv bermula pukul 8 pagi, 15 Julai 2009 hingga pukul 2 petang keesokkannya dari pihak keselamatan Plaza Masalam untuk meneliti pegawai SPRM yang berada di pejabat.

Selain Foong, suruhanjaya siasatan itu juga dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding disambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan