Dua Pengarah Didakwa Tipu RM1.5 Juta

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua pengarah sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan melibatkan jumlah RM1.5 juta.

Pengakuan Mohd Rozian Md Yunus, 48, dan Faaris Mohd Yusof, 44, direkodkan di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Kedua-dua tertuduh didakwa menipu ahli perniagaan tersebut bahawa syarikat mereka, Eurisco Bina Sdn Bhd melalui surat niat bertarikh 30 Ogos 2010 telah mendapat projek cadangan menaik taraf Jalan Benta-Jerantut, Maran Pahang Darul Makmur Fasa 1 (Jerantut-Benta) Segmen 8,9 & 10 (Reka & Bina) daripada Jabatan Kerja Raya.

Perbuatan tertuduh telah menyebabkan ahli perniagaan terbabit untuk menyerahkan dua keping cek RHB Bank Berhad yang bernilai RM500,000 dan RM1 juta kepada mereka yang mana beliau tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya.

Mohd Rozian dan Faaris didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, 8 September 2010 di bilik mesyuarat, tingkat 4, Wisma Rozali, Seksyen 13, di sini.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 10 dan 11 pagi, 20 September 2010 di tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan sendiri oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam yang mewakili tertuduh enggan memberikan kerjasama kepada media.

Abdul Razak mencadangkan jaminan RM500,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa mereka ditahan atas alasan jumlah yang terlibat adalah tinggi.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa tertuduh akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dan bagi memudahkan urusan pentadbiran, saya hanya akan menawarkan satu jaminan sahaja yang akan terpakai bagi kes di sana,” katanya.

Bagaimanapun, peguam terbabit memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang munasabah ekoran anak guamnya hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM10,000.

M. Bakri membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah selain dikhendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 April depan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohd Rozian mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah dari ahli perniagaan itu yang kononnya untuk diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah I JKR, Datuk Mohamad Husin.

Wang itu dikatakan sebagai upah untuk mengeluarkan surat tawaran kerja bagi projek Cadangan Menaik Taraf Jalan Benta-Jerantut, Maran, Pahang itu.

Lelaki bertubuh kurus dan berkaca mata itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cosmo Lounge, Hotel Hilton, pada pukul 6.50 petang, 9 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Di mahkamah sama, Faaris memberikan pengakuan sama terhadap pertuduhan cuba memusnahkan dokumen dan barang kes termasuk komputer riba, pemacu pena, fail, cop untuk menghalang siasatan SPRM dalam kes itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 48(g) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan