Mahkamah Tetapkan 4 Mac Keputusan Permohonan Bukan Islam Jadi Peguam Syarie

Diterbitkan: Isnin, 21 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Mac ini untuk memutuskan sama ada peguam wanita bukan Islam boleh menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas menemui pihak-pihak terbabit dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Victoria Jayaseele Martin untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam sahaja dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Victoria memberitahu pemberita mereka telah menyerahkan penghujahan bertulis tetapi hakim memerintahkan kedua-dua pihak terlebih dahulu berhujah mengenai isu kelayakan untuk menjadi peguam syarie mengikut Seksyen 59(2)(a) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Katanya hakim mahu penjelasan lanjut sama ada perkataan itu memberi maksud yang jelas berhubung isu untuk menjadi peguam syarie mestilah beragama Islam.

Menjelaskan perkara itu, peguam kanan persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari yang mewakili Pejabat Peguam Negara yang juga responden dalam kes ini, berkata hakim memerintahkan mereka berhujah sama ada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengikut Seksyen 59(2) mempunyai kuasa membuat keputusan di bawah Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie.

Peguam yang mewakili MAIWP, Zulkifli Che Yong berkata hakim memerintahkan pihak-pihak yang terbabit mengemukakan hujahan bertulis berhubung penjelasan itu mengikut Seksyen 59(2)(a) sebelum 1 Mac, sebelum hakim mendengar hujah itu dan membuat keputusan pada 4 Mac.

Pada 19 Mei, Martin memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan MAIWP yang menolak permohonannya bagi diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Dalam permohonannya itu, Victoria, 49, menamakan MAIWP selaku responden.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

Antara lain, Victoria, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 Mei, beliau mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi dalam perundangan permulaan untuk memohon menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan selepas Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan beliau untuk semakan kehakiman.

Ini merupakan kes ujian pertama di Kuala Lumpur di mana seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam.

Victoria, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, telah memohon tindakan undang-undang di mahkamah sivil setelah permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie ditolak oleh MAIWP. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan