Tarik Diri: Adik Teoh Beng Hock Tidak Percaya Pada Suruhanjaya

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adik kepada pembantu politik, Teoh Beng Hock memberitahu, dirinya tidak mempunyai keyakinan terhadap suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian abangnya yang telah ditemui mati di luar koridor Plaza Masalam, Shah Alam, dekat sini, dua tahun lalu.

Teoh Lee Lan, 30, berkata demikian mewakili keluarganya semasa ditemui di luar Bilik Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) 3, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini di mana prosiding suruhanjaya berlangsung.

“Kami tidak mempunyai keyakinan kepada suruhanjaya ini lagi. Mereka mempunyai agenda yang tersendiri.

“Nama Dr Pornthip Rojanasunan (pakar forensik Thailand yang mendakwa berlaku kecederaan sebelum jatuh pada Teoh yang menyebabkan bedah siasat kali kedua dilakukan) tidak disenaraikan dalam senarai saksi.

“Kami hanya mahukan suruhanjaya yang bebas, adil, profesional dan telus. Kenapa itu pun sukar?,” kata Lee Lan sambil menangis. Lee Lan hadir di mahkamah bersama ayahnya, Teoh Leong Hwee, 64, ibu Teng Shun Hor, 57, dan abangnya, Teoh Meng Kee, 34.

Sementara itu, peguam kepada keluarga mendiang, Karpal Singh berkata, pihaknya akan menghadiri prosiding semakan kehakiman yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang dijadualkan pada Khamis, meskipun telah menarik diri daripada prosiding suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian tersebut.

AGC memfailkan permohonan semakan itu bagi menyemak semula keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang memberikan penghakiman terbuka dalam prosiding inkues siasatan kematian Teoh, 30, yang merupakan pembantu kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Karpal bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan meneruskan semakan kehakiman yang difailkan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini ekoran pihaknya telah menarik diri daripada suruhanjaya tersebut.

Karpal juga mempersoalkan bagaimana AGC boleh mempunyai dua pendirian dalam kes tersebut, selain mempunyai dua prosiding yang berjalan secara serentak.

“AGC memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan penghakiman terbuka oleh koroner karana mahu ia diputuskan sebagai bunuh diri tetapi kami mahukan agar ia diputuskan sebagai bunuh diri.

“Pada prosiding suruhanjaya, AGC mengatakan mereka akan mengendalikan prosiding secara bebas. AGC tidak boleh mempunyai dua pendirian yang berbeza,” katanya.

Karpal dan Lee Lan ditemui semasa kedua-dua mereka meninggalkan prosiding semasa prosiding masih berjalan, selepas permohonan mereka supaya Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen menarik diri daripada terus mengetuai suruhanjaya itu ditolak.

Karpal memberitahu, keputusan untuk menarik diri dibuat selepas menerima arahan untuk berbuat demikian daripada anak guamnya.

James terdahulu menolak permohonan Karpal untuk menggugurkan dirinya selepas memutuskan bahawa tiada asas untuk menyokong permohonan tersebut.

Selain James, suruhanjaya juga dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Anggota yang lain iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim yang dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Tiga pegawai dari AGC pula dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu, iaitu Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Terma rujukan Suruhanjaya adalah untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Selain itu, suruhanjaya itu juga bertujuan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Teoh, 30, ditemui mati di luar koridor tingkat lima Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini pada 16 Julai 2009 dan kematian itu menyebabkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipersalahkan.

Ini kerana beberapa jam sebelum itu, Teoh dibawa ke pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama bagi tujuan dirakamkan percakapannya sebagai saksi atas dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 29 Julai 2009, prosiding inkues siasatan kematian Teoh bermula di Mahkamah Koroner Shah Alam, dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan keputusan terbuka yang tidak dapat menentukan sama ada mendiang membunuh diri atau dibunuh.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan