Suruhanjaya Diraja - Kerajaan Negeri Selangor Tarik Diri

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis, mengikut keputusan yang dibuat oleh keluarga Teoh Beng Hock untuk menarik diri daripada menyertai prosiding suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pembantu politik tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Kerajaan Negeri terbabit, Malik Imtiaz Sarwar sebaik sahaja suruhanjaya bersidang di Bangunan Mahkamah Sivil Baharu (NCvC), Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Menurut Malik, keputusan untuk menarik diri dibuat kerana berkongsi pendirian yang sama seperti keluarga Teoh semasa menarik diri pada Rabu.

Antara alasan yang dinyatakan ialah Kerajaan Negeri Selangor tidak berpuas hati dengan kehadiran tiga pegawai dari Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya.

Tiga pegawai tersebut ialah Timbalan Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li sa.

Selain itu, Malik juga membangkitkan keengganan suruhanjaya untuk menangguhkan perjalanan suruhanjaya sehingga permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh peguam keluarga Teoh, Karpal Singh didengar.

Karpal sebelum ini memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) bagi menyemak keputusan suruhanjaya menolak permohonannya untuk menggugurkan tiga pegawai tersebut.

Bagaimanapun, pada Khamis, Karpal memberitahu beliau akan memfailakn notis untuk tidak meneruskan permohonan tersebut ekoran tidak lagi terlibat dengan suruhanjaya.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen apabila dimaklumkan perkara itu oleh Malik berkata, pihaknya kesal dengan keputusan itu tetapi akan tetap meneruskan suruhanjaya tersebut.

Sementara itu, semasa prosiding, wakil Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong membuat permohonan agar suruhanjaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan prosiding kerana bimbang akan berlaku pertindihan dengan permohonan semakan yang difailkan oleh Peguam Negara.

Permohonan tersebut difailkan pada 7 Januari lalu di Mahkamah Shah Alam, dekat sini dan akan didengar oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

James kemudiannya menegur Christopher kerana tidak mengetahui bahawa permohonan semakan itu telah ditangguhkan kepada 23 Mei depan. "Nampaknya kamu tidak menggunakan Blackberry kerana jika kamu mempunyai Blackberry, kamu akan tahu bahawa kes tersebut telah ditangguhkan," kata James.

Seorang lagi anggota suruhanjaya, Datuk Abdul Kadir Sulaiman berkata, suruhanjaya tidak terikat dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

“Ini adalah prosiding yang berbeza dengan prosiding di Mahkamah Tinggi dan kita boleh meneruskan perjalanan suruhanjaya. Terma rujukan suruhanjaya juga lebih luas,” tambah beliau.

Selain James yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Abdul Kadir (bekas Hakim Mahkamah Persekutuan), suruhanjaya itu juga dianggotao oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kassim pula dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya.

Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam dan kematiannya menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi pihak yang dipersalahkan.

Ini kerana, beberapa jam sebelum itu Teoh hadir di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza itu untuk memberi keterangan sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri.

Satu prosiding inkues siasatan kematian Teoh telag diadakan pada 29 Julai 2009 dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan keputusan terbuka, kerana tidak dapat memutuskan sama ada Teoh mati kerana membunuh diri atau dibunuh.

Prosiding suruhanjaya akan bersambung pada Jumaat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan