Pendengaran Semakan Peguam Negara Pada 23 Mei

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Permohonan semakan yang difailkan oleh Peguam Negara terhadap keputusan terbuka yang diberikan oleh Mahkamah Koroner di sini dalam prosiding inkues siasatan kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock akan didengar pada 23 Mei depan.

Permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki, yang menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan pada Khamis.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad dan Abazafree Mohd Abbas manakala pihak keluarga Teoh diwakili oleh peguam Karpal Singh.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sering dikaitkan dengan kematian pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah itu pula diwakili oleh Timbalan Pendakwa Rayanya, Muhammad Sinti.

Pada prosiding itu, Karpal turut memberitahu bahawa beliau akan mengendalikan kes tersebut bersama seorang lagi peguam keluarga mendiang, iaitu Gobind Singh Deo.

Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Karpal diasak dengan pertanyaan mengapa beliau dan keluarga Teoh membuat keputusan untuk menarik diri daripada prosiding suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat mengenai kematian mendiang.

Keputusan untuk menarik diri dimaklumkan kepada panel suruhanjaya pada petang Rabu, semasa prosiding sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Pihak kami tidak mempunyai keyakinan terhadap suruhanjaya tersebut,” kata Karpal.

Beliau menambah, pihaknya akan memfailkan notis untuk tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman yang difailkannya di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) bagi menyemak keputusan suruhanjaya menolak permohonannya untuk menggugurkan tiga pegawai dari Jabatan Peguam Negara yang dilantik untuk mengendalikan suruhanjaya.

Tiga pegawai tersebut ialah Timbalan Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Karpal juga disoal bagaimana beliau membuat anggapan bahawa tindakan Peguam Negara memfailkan semakan adalah kerana mahukan supaya keputusan terbuka yang diberikan oleh koroner dipinda kepada bunuh diri.

“Mereka memfailkan semakan, sudah pasti kerana mereka mahukan bunuh diri. Tetapi kita mahukan keputusan bahawa Teoh dibunuh,” katanya.

Turut hadir di mahkamah ialah keluarga Teoh, iaitu ayahnya, Teoh Leong Hwee, 64, Teng Shun Hor (ibu), 57, Teoh Meng Kee (abang), 34, dan adiknya Teoh Lee Lan, 30.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini dan kematiannya menimbulkan banyak persoalan kerana beberapa jam sebelum itu, dia hadir di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Kehadirannya dikatakan untuk memberi keterangan sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan wang Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 29 Julai 2009, prosiding inkues untuk menyiasat punca kematiannya memulakan prosiding dan pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka, kerana tidak dapat memutuskan sama ada kematian itu akibat bunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, Peguam Negara memfailkan semakan pada 7 Januari lalu.

Sementara itu, satu suruhanjaya juga ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh dan telah memulakan prosidingnya pada Isnin lalu. Suruhanjaya itu perlu menyelesaikan siasatannya pada 25 April depan dan menyerahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Anggota yang lain iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Terma rujukan suruhanjaya itu juga telah ditetapkan untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh SPRM berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Ia juga meliputi penyiasatan kematian Teoh dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan