Kes Kematian Aminul Rasyid: Mahkamah Beri Keputusan 28 Februari

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Nasib seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan tiga, AminulRasyid Amzah dalam satu kejadian tembakan tahun lalu, akan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Februari ini.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penjelasan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, pada Khamis.

Keputusan itu nanti akan menentukan sama ada Jenain yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis (IPD) di sini akan dipanggil untuk membela diri atau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi.

Jenain, didakwa menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokthar, Idham Abd Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad. Jenain diwakili peguam-peguam M. Athimmulan, Salim Bashir, Halim Ashgar dan K. Rajoo.

Berdasarkan keterangan pada perbicaraan sebelum ini, Jenain didakwa melakukan kesalahan itu semasa melepaskan tembakan ke arah kereta Proton Iswara yang dipandu oleh remaja terbabit.

Galeri mahkamah pada hari Khamis, dipenuhi dengan ahli keluarga dan juga kira-kira 10 rakan AminulRasyid kerana tarikh hari ini pada awalnya ditetapkan sebagai keputusan di akhir pendakwaan.

Sementara itu, peguam N. Surendran yang bercakap bagi pihak keluarga mangsa berkata, pihak keluarga masih tidak menerima permohonan maaf daripada pihak polis mahupun kerajaan berhubung kejadian yang berlaku.

“Pihak keluarga berasakan polis dan kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadap mangsa dan juga tentang penemuan parang dalam kereta yang dipandu mangsa,” katanya.

Selain itu, Surendran juga mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara tidak melakukan apa-apa pendakwaan terhadap polis yang didakwa melakukan kesalahan cubaan membunuh terhadap rakan mangsa, Muhammad Azamuddin Omar, 16, yang turut berada dalam kereta pada hari kejadian.

“Azamuddin telah memberi keterangan kepada Bukit Aman lama dahulu, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

“Ini merupakan perkara penting kerana ia melibatkan imej pihak polis di mata masyarakat,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan