Keluarga Teoh Beng Hock Tarik Diri Dari Suruhanjaya

Diterbitkan: Rabu, 16 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keluarga pembantu politik, Teoh Beng Hock pada Rabu, mengejutkan prosiding Suruhanjaya bagi menyiasat kematian pembantu politik itu apabila membuat keputusan untuk menarik diri daripada terus menyertai prosiding tersebut.

Peguam Karpal Singh yang mewakili keluarga mendiang memberitahu, keputusan untuk menarik diri dibuat atas arahan yang diterima daripada keluarga mendiang.

Sejurus selepas memaklumkan keputusan itu, Karpal dan seorang lagi peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo bersama ahli keluarga Beng Hock keluar meninggalkan mahkamah.

Bagaimanapun, prosiding suruhanjaya akan tetap diteruskan dan pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata: “Kami kesal dengan keputusan itu. Pihak material telah memilih untuk menarik diri, tetapi kami di sini untuk melakukan tugas dan akan menamatkannya serta akan berlaku adil.”

Keputusan itu dibuat selepas James menolak permohonan yang dikemukakan oleh Karpal, termasuk permohonan agar beliau menarik diri daripada mengetuai suruhanjaya itu.

Menurut Karpal, permohonan tersebut dibuat atas alasan James merupakan seorang ahli badan kehakiman dan masih berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Ini merupakan kali pertama seorang hakim yang masih berkhidmat mempengerusikan suruhanjaya. Pada tahun 1998 dalam suruhanjaya untuk menyiasat kejadian mata lebam Anwar Ibrahim, seorang hakim yang telah bersara mengetuainya.

“Itu yang sepatutnya. Fakta bahawa tuan pengerusi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tidak membawa sebarang perbezaan. Tuan pengerusi seharusnya menarik diri,” kata Karpal.

Bagaimanapun, permohonan tersebut dibantah oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menurutnya, terdapat kes-kes terdahulu yang menunjukkan bahawa terdapat suruhanjaya yang dipengerusikan oleh seorang hakim.

Menurut Muhammad Shafee, amalan tersebut telah diguna pakai dalam inkuiri yang diadakan di Brisbane, Australia dan Hong Kong.

Permohonan untuk menggugurkan James juga mengejutkan peguam yang mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar yang memberitahu tidak menerima arahan daripada anak guamnya berhubung permohonan itu.

“Saya tidak menyokong mahupun membantah permohonan tersebut, tetapi ia sesuatu yang harus dipertimbangkan oleh tuan pengerusi,” katanya.

Bagaimanapun, selepas menangguhkan prosiding selama 15 minit untuk berbincang sebelum membuat keputusan, James berkata beliau tidak akan menarik diri dan menolak permohonan Karpal yang disifatkan tidak berasas.

Selain itu, beliau juga menolak satu lagi permohonan yang dibuat oleh Karpal, iaitu supaya diberikan lanjutan masa dalam permohonan semakan kehakimannya yang difailkan berhubung keputusan suruhanjaya menolak permohonannya untuk menggugurkan tiga pegawai dari Jabatan Peguam Negara yang dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.

Tiga pegawai itu ialah Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Semasa menolak permohonan itu, James berkata, pihaknya tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat pada Isnin lalu, yang menetapkan supaya semakan itu difailkan selewat-lewatnya pagi tadi, iaitu sebelum prosiding suruhanjaya bersidang.

Terdahulu, Karpal dan Gobind memberitahu, pihaknya masih belum mendapat tarikh pendengaran permohonan tersebut kerana berlaku gangguan bekalan elektrik di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pada pagi Rabu.

“Saya ingin menjelaskan situasi yang berlaku. Kami diberikan masa petang Isnin sehingga pagi Rabu tetapi kami tidak memfailkannya pada Isnin kerana sehingga malam Selasa, kami masih menyiapkan dokumen. Kami mahu memfailkan pada pagi tadi, tetapi diberitahu untuk datang semula pada waktu tengahari,” katanya.

Selain James, suruhanjaya juga dianggotai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Anggota yang lain iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim yang dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Terma rujukan Suruhanjaya seperti untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh SPRM berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Selain itu, suruhanjaya itu juga bertujuan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam, dekat sini dan kematiannya menimbulkan banyak persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan kerajaan negeri. Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Sehubungan itu, satu prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh diadakan pada 29 Julai 2009 dan pada 5 Januari laluk, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan penghakiman terbuka dalam punca kematian tersebut.

Keputusan itu bermakna kematian tersebut tidak dapat disahkan sebagai bunuh diri mahupun sebagai dibunuh. Teoh diputuskan mati akibat kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat tinggi.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Saripuddin, pihak suruhanjaya akan melawat tempat kejadian iaitu Plaza Masalam pada pagi Khamis.

Selain itu, video berkaitan prosiding suruhanjaya juga boleh dilawati oleh orang awam menerusi laman web rasmi Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di alamat http://www.bheuu.gov.my.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan