Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock Mula Bersidang

Diterbitkan: Isnin, 14 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan yang dilantik untuk menyiasat kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock memulakan prosiding pertamanya pada pagi Isnin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Suruhanjaya siasatan tersebut dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Fong Cheng Yuen dan keluarga Beng Hock diwakili oleh peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo.

Pada prosiding itu, Gobind membuat permohonan untuk menukar tiga pegawai dari Jabatan Peguam Negara, iaitu Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Amarjeet Singh dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa yang telah dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan bimbang akan berlaku unsur berat sebelah dalam prosiding suruhanjaya tersebut.

“Pihak keluarga Beng Hock tidak percaya kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak polis,” kata Gobind yang memohon supaya suruhanjaya dikendalikan oleh pihak yang 'bebas'.

Gobind menambah, Jabatan Peguam Negara juga telah memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini berhubung keputusan penghakiman terbuka yang diberikan oleh Mahkamah Koroner siasatan inkues kematian Beng Hock.

Permohonan semakan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki pada 17 Februari ini.

Amarjeet membaklas hujahan tersebut dengan menyatakan bahawa kehadiran mereka di dalam prosiding suruhanjaya siasatan adalah kerana lantikan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong dan tidak mempunyai kaitan dengan jabatan.

"Keputusan untuk mengadakan prosiding inkues sebelum ini juga bukan terletak di tangan pihak pendakwa raya, sebaliknya ia diputuskan oleh mahkamah," katanya.

Amarjeet menambah, suruhanjaya siasatan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner mahupun dengan keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan.

Setelah menangguhkan prosiding sebentar, James menolak permohonan Gobind kerana menurutnya, pegawai yang dilantik untuk mengendalikan suruhanjaya tersebut telah memberi jaminan bahawa mereka akan bersifat bebas dalam prosiding itu.

"Sekiranya kami mempunyai keraguan terhadap mereka bahawa mereka tidak lagi 'bebas', barulah tindakan selanjutnya akan diambil," kata James.

Berhubung kewujudan permohonan di Mahkamah Tinggi, James menetapkan supaya perkara itu diputuskan apabila tiba di peringkat tersebut.

Sementara itu, prosiding suruhanjaya tersebut mendapat liputan meluas media dan ruang mahkamah yang terhad menyebabkan beberapa wartawan tidak dapat memasuki ruang mahkamah.

Bagaimanapun, mereka masih boleh mengikuti prosiding secara langsung menerusi dua buah televisyen yang menyiarkan prosiding yang diletakkan di bilik media kompleks mahkamah.

Orang awam yang berhasrat mengikuti prosiding juga boleh berbuat demikian menerusi televisyen yang diletakkan di luar mahkamah.

Turut menghadiri mahkamah ialah keluarga Beng Hock.

Selain James, suruhanjaya tersebut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Selventhiranathan a/l Thiagarajah; Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim pula dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Sebaik sahaja prosiding bermula, James menyatakan terma rujukan suruhanjaya sebagai menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Selain itu, suruhanjaya juga berperanan untuk menyiasat kematian Teoh, 30, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar yang menyatakan pihaknya mempunyai sebab untuk mengikuti prosiding memandangkan mendiang merupakan pembantu kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah.

"Kami juga memainkan peranan yang aktif dalam prosiding inkues sebelum ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan