Saiful Dakwa Dipaksa Lakukan Seks Oral - Saksi

Diterbitkan: Isnin, 14 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau mengambil palitan spesimen dari tekak dan lidah Mohd Saiful Bukhari Azlan selepas lelaki itu memberitahunya yang dia telah dipaksa melakukan seks oral oleh "seorang tokoh berprofil tinggi". Ketika disoal balas oleh peguam S. N. Nair kenapa beliau mengambil spesimen dari dua tempat berkenaan, Dr Siew berkata apabila beliau merekodkan sejarah kejadian itu daripada pesakit, selain memberitahu beliau yang dia telah diliwat, pengadu juga mendakwa dia diminta melakukan aksi tersebut.

Kata Dr Siew, Mohd Saiful juga memberitahunya yang dia tidak boleh duduk selama dua hari akibat perlakuan seksual yang tidak direstuinya itu.

Ditanya tentang keadaan Mohd Saiful ketika pengadu pertama kali menemui beliau, Dr Siew berkata dia berkeadaan tenang, manakala dua lagi pakar lain melakukan pemeriksaan perubatan terhadapnya.

Menjawab soalan Nair sama ada beliau mencatatkan nota tentang latar belakang keluarga Mohd Saiful, ahli patologi itu berkata beliau tidak berbuat demikian secara khusus kerana mindanya bertumpu terhadap dakwaan yang dibuat pengadu.

"Dia juga tidak menunjukkan sabarang tanda sebagai seseorang yang mengalami masalah psikiatri, dia agak tenang, memberi kerjasama dan bersopan," kata Dr Siew.

Dr Siew berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaran Ketua Pembangkang, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Menjawab soalan Nair kenapa keterangan yang diberinya bercanggah kerana laporan yang disediakannya pada 13 Julai 2008 menyebut bahawa tidak ada penemuan klinikal tentang berlakunya penusukan, tetapi menyatakan sebaliknya apabila berada di kandang saksi, Dr Siew berkata laporannya itu adalah lebih berdasarkan pada penemuan klinikal dalam keadaan ketiadaan laporan ahli kimia.

Bagaimanapun, Dr Siew bersetuju dengan Nair bahawa beliau telah memberitahu seseorang tentang penemuan awalnya itu.

"Saya hanya maklumkan perkara itu kepada polis dan tidak kepada sesiapapun dari HKL, dan saya memberitahu mereka bahawa ia hanyalah beberapa kecederaan pada bahagian anus mangsa," kata Dr Siew.

Ahli patologi itu menolak pandangan Nair bahawa beliau bersikap berat sebelah dalam laporannya setelah mengambil sebahagian daripada laporan ahli kimia ketika menyediakan laporan itu.

"Anda bersikap memilih apabila hanya menyebut tentang fakta yang bersifat prejudis terhadap anak guam saya dan menyembunyikan sesuatu yang menyebelahinya," kata Nair.

Nair memberitahu mahkamah bahawa laporan ahli kimia itu menyebut tentang kewujudan DNA dua lelaki dan ahli patologi itu bergantung sepenuhnya pada laporan berkenaan.

Nair: Anda bergantung pada laporan yang mempunyai kecacatan (laporan kimia) sebelum membuat kesimpulan bahawa tidak berlaku penusukan? Dr Siew: Tidak bersetuju. Saya lebih bertumpu pada bukti kukuh mengenai serangan seksual seperti yang didakwa oleh pengadu.

Nair: Anda amat bersikap berat sebelah, pro polis dan tidak bebas?

Dr Siew: Tidak bersetuju sepenuhnya.

Nair: Anda telah diberi taklimat oleh pegawai penyiasat DSP Judy Blacious Pereira bahawa "tokoh berprofil tinggi" yang didakwa oleh Mohd Saiful itu ialah Anwar?

Dr Siew: Ya, pegawai itu memberi taklimat kepada kami bahawa beliau ialah Anwar, tapi kami tidak bersikap berat sebelah dalam melaksanakan tugas kami. Nair: Selalunya, berapa lama masa yang diambil jabatan anda untuk menerima laporan daripada ahli kimia?

Dr Siew: Lebih sebulan dan dalam sesetengah kes, hingga tiga bulan.

Nair: Dalam kes ini ia hanya mengambil masa tujuh hingga lapan hari sahaja, bukankah ini super cepat?

Dr Siew: Ia memang cepat, tapi bukan super cepat.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Dr Siew berkata Mohd Saiful tidak pernah mengadu kepada beliau tentang sebarang objek plastik yang dimasukkan ke dalam anusnya.

Kata Dr Siew walaupun DSP Judy hadir ketika pemeriksaan perubatan dijalankan, pegawai itu tidak pernah mengarah atau campur tangan dalam tugas beliau.

Menjawab satu lagi soalan oleh Nordin, Dr Siew berkata spermatozoa boleh kekal hingga 46 jam pada bahagian anus dan selama 65 jam di dalam rektum. Sementara itu, pakar penjagaan kecemasan HKL Dr Khairul Nizam Hassan mengesahkan bahawa Mohd Saiful berada dalam keadaan tenang ketika beliau membuat pemeriksaan terhadapnya.

"Dia memberitahu saya yang dia mengambil masa untuk membuat pendedahan tentang serangan seksual yang berlaku terhadapnya dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakannya itu," kata Dr Khairul apabila disoal balas oleh Nair. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah disambung pada Rabu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan