Speaker Selangor Mohon Saman Pemula Badrul Hisham Dibatalkan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Teng Chang Khim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula Badrul Hisham Abdullah bagi mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang.

Permohonan itu difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas, Advocates & Solicitors di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat.

Dalam afidavitnya, Teng, 48, berkata beliau memiliki kekebalan di bawah Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tindakan undang-undang Badrul Hisham.

Sehubungan itu, Teng berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa bagi memutuskan sebarang isu berkaitan prosiding DUN, keputusan beliau atau deklarasi yang dibuat dalam kapasitinya sebagai Speaker.

Beliau mendakwa kewajaran mana-mana keputusan atau deklarasi yang dibuat dalam kapasitinya sebagai Speaker tidak boleh dipertikai di mahkamah kerana DUN dan badan kehakiman merupakan dua cabang kerajaan yang berada pada kedudukan yang setara.

Sehubungan itu, Teng memohon mahkamah membatalkan saman pemula Badrul Hisham kerana mendakwa ia melampau, remeh dan menyusahkan, menyakitkan hati serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 24 Januari lepas, Badrul Hisham memfailkan saman itu bagi mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih lagi ADUN Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan DUN Selangor.

Beliau juga meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong.

Perintah deklarasi lain yang dipohon Badrul Hisham termasuk keputusan Teng mengisytiharkan bahawa kerusi itu telah kosong adalah melangkaui Artikel LXIX Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan oleh itu, batal serta tidak sah.

Pada 7 Februari lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi interim bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya daripada bermesyuarat mengenai status Badrul Hisham sehingga 17 Februari ini, sementara menunggu saman pemula beliau didengar.

Badrul Hisham memenangi kerusi DUN itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008, sebelum keluar parti pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN Bebas.

Beliau menyertai Umno Mei tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan