Mahkamah Persekutuan Tolak Petisyen Ketiga Bekas Sultan Kelantan

Diterbitkan: Khamis, 10 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak petisyen bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra untuk mencabar pelantikan putera sulung baginda, Sultan Muhammad V, menaiki takhta.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra), untuk membatalkan petisyen ketiga ayahanda baginda yang memohon diisytiharkan permasyhuran baginda (Sultan Muhammad V) sebagai Sultan, adalah melanggar perlembagaan.

Permohonan untuk membatalkan petisyen itu difailkan atas alasan bahawa Tuanku Ismail Petra tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan petisyen itu dan forum yang betul untuk membuat keputusan terhadap pertikaian itu ialah Mahkamah Khas.

Ini kerana Tengku Muhammad Faris ialah Sultan Kelantan dan permohonan tuntutan mempertikaikan pelantikan seorang Sultan perlu dibuat di Mahkamah Khas.

Panel hakim menyampaikan keputusan itu tanpa kehadiran peguam yang mewakili Tuanku Ismail Petra.

Peguam yang mewakili Tuanku Ismail Petra sebelum ini, Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail telah menarik diri daripada mewakili baginda pada 18 Januari selepas mahkamah menolak permohonan mereka supaya petisyen itu didengar pada pertengahan Mac kerana Raja Aziz perlu menyelesaikan rawatan perubatannya di sebuah hospital di Singapura pada awal Mac.

Panel itu yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Hakim Mahkamah Rayuan Hasan Lah menolak petisyen itu tanpa mengeluarkan perintah mengenai kos.

Petisyen ketiga itu difailkan pada 20 September tahun lepas, memohon pendapat Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perundangan berhubung pindaan ke atas perlembagaan negeri dan pelantikan tengku mahkota sebagai Sultan.

Pada 13 September tahun lepas, Majlis Perajaan melantik Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan, menggantikan ayahanda baginda, berikutan mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2009.

Pada 26 November tahun lepas, dua petisyen yang mempersoalkan tahap kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota semasa Sultan mengalami ketidakupayaan yang difailkan oleh Tuanku Ismail Petra, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan, dalam dua petisyen itu telah memutuskan bekas Sultan tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk merujuk persoalan berkenaan kepada mahkamah tertinggi itu untuk diputuskan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sunil Abraham yang mewakili Sultan Muhammad V memaklumkan mahkamah yang beliau telah memaklumkan kepada Tuanku Ismail Petra mengenai tarikh perbicaraan melalui sepucuk surat pada 28 Januari tahun ini.

Beliau berkata salinan hujahan beliau bagi permohonan beliau untuk membatalkan petisyen itu turut dikepilkan dalam surat itu.

Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan Datuk Azlan Abdul Halim mewakili responden kedua, kerajaan negeri Kelantan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan