Mahkamah Tetapkan 17 Feb Permohonan Lee Batal Saman Tiong

Diterbitkan: Rabu, 9 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng perlu menunggu sehingga 17 Feb ini untuk mengetahui permohonannya bagi membatalkan saman bekas ketua pegawai eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing terhadapnya berhubung satu laporan yang disiarkan di akhbar berkaitan skandal pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan daripada peguam Lee Leong Wai Hong dan Prem Ramachandran yang mewakili Tiong.

Dalam permohonan pembatalan itu, Leong berhujah bahawa perkataan niat jahat tidak timbul dalam mana-mana bahagian pernyataan tuntutan yang dikemukakan Tiong.

Katanya tiada dakwaan menyatakan bahawa tindakan defendan Lee dikatakan berniat jahat.

Sementara itu, Prem berhujah bahawa dakwaan serius telah dilakukan dan ia telah memberikan kesan serta mencemarkan nama baik Tiong.

Katanya fakta yang menyatakan bahawa perkataan itu telah digunakan dengan penyiaran artikel berkenaan tidak boleh dipertikaikan.

Pada 17 Sept 2009, Tiong memfailkan saman fitnah mendakwa Lee pada 26 Ogos 2009, telah mengucapkan dan menyiarkan perkataan fitnah terhadapnya kepada beberapa wartawan termasuk akhbar The Star and The New Straits Times.

Tiong berkata perkataan itu pada penggunaan lazim dan maksud biasa memberi makna bahawa beliau merupakan pihak kepada konspirasi jenayah bersama beberapa yang lain dan beliau bersalah kerana pecah amanah.

Tiong berkata perkataan-perkataan itu bertujuan untuk memperkecil-kecilkan kedudukannya, profesion, perdagangan dan perniagaan.

Anggota Parlimen Bintulu itu berkata peguamnya telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Lee meminta Pengerusi LPK itu menyiarkan permohonan maaf dan berjanji tidak mengulangi dakwaan, tetapi sehingga kini Lee enggan memenuhi tuntutan berkenaan.

Tiong memohon ganti rugi am dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang sesuai ditentukan mahkamah.

Lee, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 9 Nov 2009 berkata defendan telah menggunakan perkataan-perkataan yang diadukan atas arahan majikannya, LPK dan Tiong tidak mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa setiap kali dakwaan penyiaran itu dilakukan pada hak keistimewaan dan perkataan-perkataan itu adalah satu ulasan adil mengenai hal-hal yang menarik perhatian umum. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan