Mahkamah Dengar Kes Saman Khalid Terhadap Utusan 25 Mei

Diterbitkan: Rabu, 9 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 25 Mei ini untuk mendengar kes saman yang difailkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kerana menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya pada 11 Sept 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh tersebut selepas kes itu disebut di hadapannya pada Selasa.

Dalam saman yang difailkan tahun lepas, Khalid dari PAS, menamakan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan juga akhbar Mingguan Malaysia Datuk Aziz Ishak dan penerbit juga pencetak akhbar Utusan Malaysia dan juga Mingguan Malaysia sebagai defendan.

Beliau mendakwa pada 11 September 2009, Aziz, selaku Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Mingguan Malaysia telah dengan niat jahat membenarkan penerbitan dan pencetakan kata-kata fitnah terhadapnya di muka depan akhbar itu.

Beliau berkata kata-kata dalam artikel bertajuk "Zulkifli bidas "Pak Janggut" itu adalah secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya meskipun namanya tidak disebut dalam kata-kata itu.

Khalid mendakwa kata-kata itu merujuk kepadanya berdasarkan beliau adalah Ahli Parlimen Shah Alam dan beliau adalah individu yang berjanggut.

Beliau mendakwa kata-kata dalam makna asal dan biasa bermakna beliau sanggup memutar belit ayat-ayat Al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam, beliau tidak menghormati kesucian Al-Quran dan beliau adalah seorang yang sesat kerana sanggup memutar belit ayat Al-Quran.

Khalid berkata kata-kata itu adalah tidak benar dan jelas bersifat fitnah terhadapnya dan akibat penerbitan kata-kata itu, beliau telah menanggung rasa malu, dihina dan dikeji di kalangan masyarakat.

Beliau mendakwa tindakan defendan-defendan menerbitkan kata-kata itu adalah suatu yang disengajakan, dibuat tanpa sebarang usul periksa dan dengan niat jahat bagi mensensasikan berita untuk melariskan jualan akhbar.

Khalid memohon ganti rugi am, teladan, melampau dan kos.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 7 Jan lepas, berkata berita itu telah diterbitkan semula oleh defendan berlandaskan satu penulisan/komentar oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin pada 9 Sept 2009, di dalam blog rasmi Zulkifli.

Defendan mendakwa berita itu telah diterbitkan semula oleh defendan merupakan kenyataan Zulkfili yang bertujuan untuk makluman umum. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan