ADUN Sri Muda Mengaku Tak Bersalah Tuduhan Menghasut

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan menerbitkan artikel yang menghasut yang disiarkan di dalam blognya pada 30 Disember lalu.

Shuhaimi, 42, yang memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan pada pukul 10.30 pagi.

Beliau yang hadir dengan memakai sut bewarna hitam juga dilihat tersenyum semasa pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang jurubahasa mahkamah di dalam Bahasa Melayu.

Beliau didakwa menerbitkan artikel bertajuk ‘Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959’ yang mempunyai ayat-ayat yang menghasut di blog beralamat http://srimuda.blogspot.com.

Artikel tersebut diterbitkan semasa isu mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sedang heboh diperkatakan dan artikel yang didakwa mempunyai unsur menghasut itu turut menyentuh mengenai Sultan Selangor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Disember 2010 di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, di sini.

Bagi kesalahan itu, Shuhaimi atau lebih dikenali sebagai Shuhaimi Shafiei didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusoff.

Mohamad Hanafiah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh yang beralamat di Setia Alam, di sini, atas alasan kesalahan yang terlibat adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Edmund Bon yang mewakili Shuhaimi memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah tersebut kerana tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Turut dinyatakan ialah, tertuduh yang telah bekerjasama dengan pihak polis termasuk hadir ke balai polis untuk dirakamkan percakapan pada 3 Februari lalu.

“Di bawah Perkara 69 Perlembagaan Negeri Selangor, seseorang ADUN boleh kehilangan kerusi jika tidak menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri selama enam bulan, dan tertuduh yang dipilih oleh orang ramai di Sri Muda tidak mahu perkara tersebut berlaku.

“Beliau juga mempunyai keluarga dengan tiga orang anak berusia 10, 3 dan setahun. Pendapatannya sebagai seorang ADUN ialah sebanyak RM4,000 dengan elaun RM4,122.79 yang semuanya digunakan untuk keluarga dan menanggung kerja-kerja sebagai ADUN,” katanya.

Edmund juga berkata, Shuhaimi tidak akan merosakkan kredibiliti dan reputasinya dengan melarikan diri dari pertuduhan di mahkamah.

“Dari barisan peguam-peguam, tertuduh yakin beliau tidak bersalah dan akan berjaya membela diri dalam pertuduhan ini. Selain itu, tiada dakwaan yang mengatakan bahawa tertuduh akan menganggu bukti,” katanya.

Selain itu, Edmund juga menghujahkan bahawa pihaknya akan mencabar pertuduhan di Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan Akta Hasutan tidak boleh digunakan dalam kes melibatkan blog dan Internet kerana terdapat Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diwujudkan untuk kes-kes sepertinya.

Selain Edmund, barisan pembelaan juga dibarisi oleh peguam-peguam N. Surendran, Latheefa Koya, Amer Hamzah Arshad, Yusmadi Yusoff , NIzam Bashir dan Fahri Azzar.

Hakim Latifah Mohd Tahar setelah mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan rayuan peguam, menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 28 Mac depan.

Jaminan tersebut dijelaskan oleh rakan Shuhaimi, Rohaya Wan Idrus, 48, yang berasal dari Taman Gembira, Klang, dekat sini dan bekerja sendiri.

Turut berada di mahkamah untuk memberi sokongan moral kepada Mat Shuhaimi ialah beberapa pemimpin dari Pakatan Rakyat, iaitu Nurul Izzah Anwar, Ronnie Liu, Azmin Ali, Dr Xavier Jeyakumar, Yaakop Sapari dan dan Hannah Yeoh.

Shuhaimi tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi dan semasa itu, perkarangan mahkamah dikawal oleh kira-kira 20 orang anggota polis beruniform.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan