Dua Didakwa Urus Rumah Pelacuran

Diterbitkan: Selasa, 1 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang tukang masak dan seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menggunakan sebuah rumah untuk tujuan pelacuran, tiga minggu lalu.

James Yap Wei Bing, 23, dan Kong Tze Min, 37, didakwa sebagai penghuni rumah nombor A-02-03, Apartmen Damansara Suria, Jalan Persiaran KIP2, Taman Perindustian KIP, Kepong, dekat sini telah menggunakan rumah tersebut untuk tujuan pelacuran.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada pukul 1 pagi, 12 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam Mazni Mohamed memohon mahkamah agar mempertimbangkan jumlah jaminan kerana anak guamnya tidak mampu untuk menjelaskan jaminan RM10,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin.

“Kong telah berkahwin dan isterinya berada di Sabah. Isterinya tidak bekerja dan menghidap penyakit kanser otak untuk tempoh lebih kurang dua tahun. Hasil pendapatannya banyak digunakan untuk merawat isteri yang agak tenat,” kata Mazni.

Beliau juga memberitahu, James dan Kong tidak melarikan diri semasa ditangkap dan telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Hakim Hasbi Hasan membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan