Peguam Pitam Ketika Soal Balas Saksi Dalam Kes Daphne Iking

Diterbitkan: Jumaat, 28 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam yang mengendalikan kes saman peribadi bekas suami model dan pengacara Daphne Eleanor Iking pitam ketika sedang menyoal saksi setelah beliau gagal mendapat penangguhan dari Mahkamah Majistret di sini.

Peguam Jagjit Singh yang difahamkan mengidap bronkitis hanya sempat menyoal saksi kira-kira 20 minit dan sebelum kejadian itu suara beliau kedengaran tersekat-sekat dan tidak bermaya.

Di awal prosiding beliau telah memberitahu Majistret bahawa beliau tidak sihat sejak Rabu lalu dengan mengemukakan sijil cuti sakit dari hospital kerajaan dan swasta, tetapi ia gagal mendapat simpati daripada Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah.

Engku Ahmad Rashdi berkata beliau tidak mahu menangguhkan kes itu kerana sebelum ini anak guam Jagjit iaitu Darren Choy Khin Ming juga mengemukakan cuti sakit hingga kes itu ditangguhkan ke hari ini.

Engku Ahmad Rashdi pada awalnya mencadangkan pemeriksaan balas dilakukan oleh peguam Akhbardin Abdul Kadir yang turut membantu Jagjit, tetapi Akhbardin berkata mereka mempunyai bidang tugas masing-masing dan hanya Jagjit yang akan menyoal balas suami Daphne, Ryan Chong Yiing Yih.

Berikutan itu, Jagjit dibenarkan berehat kira-kira 15 minit sebelum pemeriksaan balas dan ketika prosiding bermula, Jagjit sekali lagi merayu supaya dibenarkan penangguhan tetapi ditolak oleh Engku Ahmad Rashdi yang kemudiannya meminta beliau menyoal saksi seberapa yang mampu.

Jagjit yang cuba memenuhi arahan Engku Ahmad Rashdi hanya mampu menyoal saksi selama 20 minit sebelum beliau rebah dan sempat dipegang oleh Akhbardin.

Melihatkan keadaan itu, Engku Ahmad Rashdi menangguhkan perbicaraan selama 20 minit. Jagjit dibawa keluar mahkamah menggunakan kerusi roda untuk mendapatkan rawatan oleh Akhbardin dan pembantu Jagjit.

Engku Ahmad Rashdi memasuki mahkamah semula untuk menyambung prosiding dan beliau bersetuju menangguhkan perbicaraan hari ini setelah dipohon oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Ryan atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun, Engku Ahmad Rashdi tetap bertegas untuk menetapkan tarikh baru bagi perbicaraan seterusnya dengan kehadiran Akhbardin serta pembantu Jagjit walaupun peguam Wong mencadangkan ia ditetapkan kemudian berikutan masalah yang dialami Jagjit.

Engku Ahmad Rashdi menangguhkan sekali lagi prosiding selama 20 minit dan masuk semula untuk menetapkan tarikh tetapi tiada kelibat Akhbardin serta pembantu Jagjit.

Keadaan itu menimbulkan kemarahan Engku Ahmad Rashdi dan seorang pembantu Akhbardin yang bertindak sebagai pencatat semasa prosiding berkata beliau hanya mewakili Akhbardin sahaja dan tidak tahu bagaimana dengan jadual Jagjit.

Engku Ahmad Rashdi berkata sepatutnya pembantu Jagjit telah berada di dalam mahkamah bagi mewakilinya dan keadaan itu jelas menunjukkan ketidakcekapan dan tiada pengurusan.

Engku Ahmad Rashdi kemudiannya menetapkan 16 Februari untuk menyambung perbicaraan dengan memanggil saksi lain sekiranya Jagjit masih belum sihat untuk menyoal balas Ryan.

Sementara itu, pemeriksaan balas hari ini hanya menyentuh mengenai penafian Ryan terhadap dakwaan hubungannya dengan seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) dari China, Serena dan mengenai petisyen perceraiannya.

Saman peribadi ini dikemukakan terhadap Choy, 44, oleh Ryan, 31, kerana memikat Daphne, 30, dengan mengetahui bahawa beliau ketika itu merupakan isteri Ryan dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, Choy boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan