Kes Bunuh Sosilawati Disebut Semula 24 Februari

Diterbitkan: Khamis, 27 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, Khamis, menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes bekas peguam, N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya yang didakwa membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada Ogos tahun lepas.

Majistret Hurman Hussain menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan meminta penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan dan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kes dua lagi pekerja Pathmanabhan, K.Sarawanan dan U.Suresh yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan mayat keempat-empat mangsa.

Pada 13 Oktober tahun lepas, Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, 19, R.Matan, 20, dan R.Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini pada 30 Ogos tahun lepas.

Pada 15 Oktober tahun lepas, Sarawanan, 19, dan Suresh, 26, mengaku bersalah di mahkamah yang sama berhubung dakwaan menghilangkan bukti dengan membakar mayat keempat-empat mangsa di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini, antara 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos lepas.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan kes itu daripada pihak pendakwaan.

Justeru beliau meminta jaminan agar pihak pendakwaan menyerahkan kepada mereka dokumen berkenaan pada Isnin ini ketika pendengaran rayuan dan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengendalikan pendakwaan berkata pihaknya akan menyerahkan sebahagian dokumen berkenaan seperti yang diminta oleh pihak pembelaan.

Hurman kemudian berkata beliau tidak ada alasan lagi untuk menangguhkan kes itu dan bercadang untuk memindahkannya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Amer Hamzah berkata beliau juga ingin agar kes itu dipindah ke mahkamah tinggi tetapi peruntukan undang-undang tidak mengizinkan untuk berbuat demikian memandangkan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan surat izin untuk memindahkan kes kepada mahkamah.

"Saya tahu tuan amat kecewa," kata Amer Hamzah dan Hurman menjawab: "Saya tidak kecewa tetapi tidak gembira."

Peguam Pushpa Ratnam yang juga mewakili kesemua tertuduh pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima salinan laporan polis yang dibuat oleh anak guamnya, Khatavarayan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Kami juga baru dimaklumkan oleh Thilaiyagan dan Matan bahawa mereka telah dipukul dalam penjara. Kami telah maklumkan kepada pihak penjara bahawa anak guam ingin membuat laporan polis," katanya.

Hurman kemudian menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes dan meminta agar pihak Jabatan Peguam Negara membantu menyelesaikan isu itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan