Kakitangan JPJ Didakwa Terima Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 25 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menerima rasuah RM200 daripada seorang pemilik lori.

Zafri Zulkepli, 29, yang bertugas sebagai pemeriksa kereta motor didakwa menerima wang tunai itu daripada Eng Kim Seng pada pukul 10.40 malam, 14 April 2010 di tepi jalan Samudera Barat 3, Taman Samudera, Batu Caves, Gombak, dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa tertuduh bertugas di pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk dia tidak mengeluarkan saman terhadap pemandu lori, K. Nadarajan yang telah melakukan kesalahan meletakkan kenderaan yang menghalang lalu lintas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fazillah Mohd Ossman mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Peguam Martin Tay yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM5,000 yang ditawarkan oleh Fazillah.

“Tertuduh merupakan seorang penjawat awam yang menerima gaji RM2, 135 sebulan dan telah ditukar kerja ke Langkawi, Kedah,” katanya.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

Perbicaraan akan dijalankan pada 9 hingga 12 Mei depan manakala 24 Februari depan ditetapkan sebagai pengurusan kes.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan