Hukuman Ibu Tunggal Dera Amah Ditambah

Diterbitkan: Selasa, 25 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas majikan pembantu rumah Indonesia Siti Hajar Sadli yang didera bukan sahaja gagal dalam usaha mengurangkan hukuman, tetapi kini terpaksa meringkuk di penjara untuk tempoh yang lebih lama.

Jika sebelum ini Hau Yuan Tyng, 44, dihukum penjara selama lapan tahun, pada Selasa, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha memerintahkan supaya wanita tersebut menjalani hukuman selama 11 tahun, bermula daripada tarikh jatuh hukum.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Ghazali menolak rayuan yang dikemukakan oleh Hau untuk mengenepikan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S. M. Komathy pada 20 Mei 2010.

Selain hukuman penjara lapan tahun, Komathy semasa itu turut memerintahkan Hau untuk membayar ganti rugi RM5,000 kepada Siti Hajar yang dicederakan dengan menggunakan air panas, tukul besi dan gunting.

Pada penghakimannya, Ghazali berkata, beliau tidak dapat melihat sifat keinsafan pada Hau.

“Meskipun saya bersimpati dengan Hau sebagai ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak termasuk seorang kurang upaya, saya tidak dapat melihat sifat keinsafan mengenai apa yang dilakukannya.

“Di dalam rekod mahkamah, saya tidak dapat melihat bahawa dia ada meminta maaf kepada Siti Hajar.

“Kejadian mencederakan pembantu rumah bukanlah perkara yang asing. Mereka tidak patut dijadikan sebagai hamba dan memerlukan pembelaan.

“Apatah lagi, ia melibatkan hubungan baik di antara dua negara yang berjiran,” tambah Ghazali.

Selain itu, Ghazali juga bersetuju dengan Komathy bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh Hau hanya bersifat penafian dan ditimbulkan kemudian kerana perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan semasa di peringkat pendakwaan.

Hau menerusi kenyataan bersumpahnya mendakwa, Siti Hajar telah melakukan penderaan seksual terhadap anak lelakinya, selain segaja mencederakan diri sendiri kerana ingin pulang ke kampung halaman.

“Tiada kemungkinan bahawa kecederaan itu direka oleh Siti Hajar untuk meletakkan Hau di dalam kesusahan,” kata Ghazali.

Selain itu, beliau menambah, keterangan doktor menyatakan terdapat kecacatan kekal di bahagian hidung dan juga kesan parut akibat daripada kesan melecur.

Bagaimanapun, Ghazali membenarkan permohonan peguam M. Manoharan yang mewakili Hau untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana berhasrat mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. Manoharan juga memberi akujanji bahawa rayuan tersebut akan difailkan pada Rabu.

Bagi tujuan itu. Ghazali memerintahkan supaya jaminan Hau sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dinaikkan kepada RM25,000 dengan dua orang penjamin.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.

Hau yang merupakan bekas ejen hartanah disabitkan bersalah pada pada 14 Mei 2010 atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah dan satu tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Siti Hajar antara Februari dan Jun 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan terhadap mangsa yang telah bekerja dengannya selama dua tahun di nombor 1-19-1, Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara, di sini.

Wanita bertubuh kecil itu didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 18 Jun 2009.

Perbicaraan sebelum ini menyaksikan 15 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala Hau memanggil anak perempuannya untuk menyokong pembelaannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan