Semakan Kehakiman Inkues Kematian Teoh Beng Hock Didengar 31 Januari

Diterbitkan: Rabu, 19 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Permohonan semakan yang difailkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap keputusan terbuka dalam inkues kematian pembantu politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock akan didengar pada 31 Januari ini.

Permohonan tersebut akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Moktarudin Baki.

Tarikh pendengaran tersebut ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Khairul Nizam Abu Bakar pada Rabu.

Peguam Negara memfailkan permohonan itu pada 7 Januari lalu.

Berdasarkan kenyataan oleh Abdul Gani, beliau mengatakan keputusan untuk memfailkan semakan dibuat berikutan kebimbangan yang dilahirkan daripada keputusan prosiding inkues tersebut.

Pada 5 Januari baru-baru ini, Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan terbuka dalam prosiding inkues siasatan kematian Teoh.

Beliau menolak kematian Teoh adalah disebabkan bunuh diri dan juga mendapati tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan melampaui keraguan yang munasabah bahawa mendiang telah dibunuh.

Justeru itu, Azmil Muntapha hanya merumuskan bahawa Teoh mati antara pukul 7.15 dan 11.15 pagi, 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini.

Punca kematian diputuskan sebagai kecederaan berganda yang konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi pihak yang disalahkan dalam kematian pembantu kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah kerana beberapa jam sebelum itu dia dibawa ke pejabat SPRM yang terletak di tingkat 11 plaza sama.

Teoh dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor oleh majikannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan