Remaja Didakwa Kali Kedua Di Hadapan Hakim Sama

Diterbitkan: Rabu, 19 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang remaja berusia 19 tahun sekali lagi ‘bersemuka’ dengan Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, untuk mendengar pertuduhan terhadapnya yang didakwa dilakukan semasa berada dalam jaminan untuk kesalahan lain.

Mohd Junaidi Alias, 19, dengan selamba memberitahu Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob bahawa dia tidak melakukan kesalahan meragut beg tangan seorang jurujual dan mendakwa ia dilakukan oleh seorang rakan. Tertuduh didakwa merompak beg tangan Lizasari Suwirman, 29, dan melarikan sebuah telefon bimbit, dompet dan kad pengenalan yang kesemuanya berharga RM500 pada pukul 12.05 tengah malam, 9 Januari lalu di Jalan Besar Sri Batu Caves, Gombak, dekat sini.

“Kawan saya yang tarik beg (milik mangsa). Saya bonceng di belakang. Saya tidak sedar (perbuatan rakannya),” katanya yang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Wan Mohd Norisham berkata, dia masih mengingati tertuduh yang pernah dihadapkan di hadapannya atas kesalahan merompak pada tahun lalu.

“Awak tak sedar, tapi saya sedar muka kamu. Kamu telah dituduh di mahkamah saya. Semasa itu, awak marah pada ibu awak suruh dia bayar jaminan. Apa kamu nak cakap? Ini kes kali ke berapa?,” katanya.

Tertuduh dengan perlahan memberitahu ia kali ketiga dia didakwa di mahkamah manakala Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim memberitahu, tertuduh akan didakwa bagi satu lagi kesalahan di mahkamah berasingan.

Justeru itu, Salwa Asmary memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan diberikan kepada Mohd Junaidi yang telah ditangkap serta-merta pada hari kejadian.

Mohd Junaidi yang hanya bersekolah hingga tingkatan empat dan pernah bekerja di kilang membuat pakaian seragam sekolah memohon agar dia diberikan jaminan.

“Saya nak sambung sekolah. Emak saya dah daftarkan saya di sebuah sekolah pondok untuk belajar agama di Tapah, Perak,” katanya.

Wan Mohd Norisham membuat keputusan untuk tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes.

“Kamu tidak perlu membuat muka kesian pada saya. Jika kali pertama, mungkin boleh bagi kelonggaran,” katanya lagi.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohd Junaidi dan rakannya, Ismaalif Putra Ismail, 21, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merompak seorang lelaki berusia 23 tahun dengan mengunakan topi keledar dan pengunci tayar. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Mohammad Aiman Ramli pada pukul 5.40 petang, 16 Disember 2010 di rumah nombor G1210, Lorong Tanjung, Kampung Seri Gombak Indah, Gombak, dekat sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa telah melarikan sebuah telefon bimbit mangsa jenama Nokia 6210 bernilai RM230. Selain itu, mereka juga didakwa telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mohd Junaidi memberitahu, mangsa di dalam kes tersebut merupakan rakannya dan telah memaklumkan bahawa dia akan menarik semula aduan dan tidak akan meneruskan kes tersebut.

Bagaimanapun Hakim Hasbi Hasan menerangkan bahawa kuasa untuk meneruskan atau menarik kes terletak pada Pendakwa Raya dan bukannya pada mangsa yang juga merupakan pengadu dalam kes itu.

“Tiuduh atau tidak bergantung pada Pendakwa Raya. Kalau pengadu tidak mahu datang ke mahkamah, saya boleh mengeluarkan sepina untuk dia hadir di mahkamah,’ katanya. Ismaalif pula dalam usaha mahu mengurangkan jaminan RM10,000 yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin memberitahu dia datang dari keluarga yang susah.

“Emak dan ayah saya berniaga di sekolah rendah dan saya juga baru tamat belajar daripada sebuah pusat latihan,” katanya. Hasbi membenarkan jaminan diberikan pada jumlah RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri dib alai polis berhampiran setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 18 Februari depan untuk tertuduh melantik peguam.

iklan

Video

Khamis, 22 Jun 2017 3:00 PM

EKSKLUSIF! Wany Hasrita Cinta Eric Fuzi?

Khamis, 22 Jun 2017 12:12 PM

Sharifah Amani Pantang Kena Tegur?

Khamis, 22 Jun 2017 9:00 AM

Sayu... Air Mata Kerinduan Ir Radzi

Rabu, 21 Jun 2017 3:00 PM

Zul Ariffin Nak Balas Dendam?

Rabu, 21 Jun 2017 12:05 PM

Wow! Fauziah Latiff Masih 'Hot'

Rabu, 21 Jun 2017 9:30 AM

Bella Nazari Pernah Buat 'Kerja Gila'

Selasa, 20 Jun 2017 3:00 PM

Fathia Latiff Mangsa Komen Lucah

Selasa, 20 Jun 2017 12:00 PM

Kesiannya... Tajul Kesepian

Selasa, 20 Jun 2017 9:25 AM

Abam 'Recycle' Baju Raya

Kolumnis

iklan

Iklan