Lans Koperal Didakwa Cederakan Wanita

Diterbitkan: Rabu, 19 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang digantung kerja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan mencederakan seorang wanita, enam tahun lalu.

Sabri Mat Taha, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Noor Salina Nordin, 29, dengan menggunakan tangan pada pukul 1.30 pagi, 8 Februari 2005.

Dia yang digantung kerja sejak enam tahun lalu didakwa melakukan kesalahan tersebut di bilik K2, Tingkat 5, Bangunan Wisma Indah, Jalan Tun Razak, di sini.

Tertuduh kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Selain itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamun seorang penjaga stor, Mustafa Rozali, 26, pada pukul 4 pagi, 6 Februari 2006.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini dan tertuduh didakwa telah melarikan wang tunai RM300 milik mangsa.

Pendakwaan bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM8,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Februari depan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Hisham Md Nen.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan