Saman RM100 Juta MIED Terhadap Pemegang Amanahnya Didengar 27 April

Diterbitkan: Selasa, 18 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 April depan untuk mendengar saman RM100 juta Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) terhadap pengerusinya, Datuk Seri S.Samy Vellu dan tujuh pemegang amanah cabang pendidikan MIC itu berhubung dakwaan melakukan penyelewengan sehingga menyebabkan institut itu rugi.

Saman itu akan didengar oleh Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Adibah Hanim Ab Hamid menetapkan tarikh itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak dalam kamar ketika pengurusan kes itu hari ini.

Peguam MIED A. Vasanthi memberitahu media bahawa sekurang-kurangnya 50 saksi akan dipanggil termasuk bekas presiden MIC Samy Vellu, yang akan memberi keterangan bagi pihak defendan.

Pada 10 Januari lepas, mahkamah memberikan tempoh 30 hari untuk defendan menyediakan dokumen ketika perbicaraan, yang antara lain menunjukkan wang yang diterima dan dibayar MIED sejak 1990 sehingga tarikh saman dikemukakan iaitu pada 5 Julai tahun lepas.

Hakim Abdul Aziz mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan MIED supaya defendan membekalkan sejumlah 12 dokumen termasuk yang berkaitan pembinaan Institut Sains Perubatan dan Teknologi Asian (AIMST), yang didakwa menyebabkan kerugian besar kepada cabang pendidikan MIC.

Selain Samy Vellu, MIED turut menamakan penggantinya, Datuk G. Palanivel, Tan Sri M. Mahalingam, Tan Sri Dr T. Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Tan Sri Dr Karnail Singh Nijhar, Tan Sri K.Kumaran dan Tan Sri G. Vadiveloo sebagai defendan.

Dalam saman itu, MIED mendakwa semua defendan telah melanggar tanggungjawab fidusiari dan tanggungjawab berkanun mereka serta gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemegang amanah serta juruaudit, sehingga menyebabkan institusi itu mengalami kerugian besar.

Sehubungan itu, MIED memohon perintah injunksi bagi menghalang Samy Vellu daripada terus menerajui institusi tersebut dan melepaskan kedudukannya dalam institut berkenaan serta mengembalikan semua wang atau keuntungan yang diperoleh daripada MIED, sama ada menerusi anggota keluarga atau kawan rapatnya.

Turut dipohon perintah mahkamah bagi mewajibkan Samy Vellu membayar ganti rugi bagi semua kerugian kewangan yang dialami institusi berkenaan ketika beliau mentadbir MIED sebagai pengerusinya.

Selain itu, MIED menuntut ganti rugi khas dan ganti rugi am berjumlah RM100 juta.

Saman itu difailkan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mah Weng Kwai membenarkan bekas ketua Pemuda MIC A.Vigneswaran menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap pemegang amanah institusi berkenaan.

Vigneswaran, seorang anggota MIED, membuat permohonan itu mengikut Seksyen 181A Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan bahawa syarikat yang ingin dinamakan sebagai plaintif dalam tindakan saman, perlu mendapatkan kebenaran mahkamah. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan