Bicara Kes Liwat Anwar Disambung Bermula 14 Februari Hingga 25 Mac

Diterbitkan: Isnin, 17 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi akan disambung bermula 14 Februari hingga 25 Mac ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas berjumpa dengan peguam Anwar dan pihak pendakwa raya dalam kamar ketika kes itu tampil untuk sebutan hari ini.

Perbicaraan setakat ini menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas saksi ketiga pendakwaan, pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini empat saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan. Mereka ialah pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tiga pakar dari HKL.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Anwar, S.N. Nair berkata pihaknya bimbang mengenai peluang kumpulan pakar perubatan mereka dari Australia untuk hadir pada perbicaraan kali ini berikutan bencana banjir di negara itu sekarang.

Beliau berkata kumpulan pakar DNA dan forensik itu tidak mempunyai masa luang sehingga 20 Februari kerana kejadian banjir tersebut, namun pihak pembelaan akan berusaha untuk membawa salah seorang daripada mereka hadir.

Perbicaraan dijadual untuk sebutan selepas mahkamah pada 6 Disember membenarkan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Pada 14 Januari, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu dan memutuskan bahawa Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi memandangkan keputusan dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Hakim Mohamad Zabidin pada 6 Disember lepas menolak permohonan kali kedua Anwar agar beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Anwar, 63, membuat permohonan itu atas alasan hakim telah mengugut peguam belanya semasa prosiding lepas dan walaupun hakim telah menarik balik ugutan seperti didakwa itu, wujud bahaya akan berlaku berat sebelah sekiranya hakim terus mendengar kes itu.

Mohamad Zabidin turut menolak permohonan pertama Anwar supaya beliau menarik diri, yang difailkan atas alasan mungkin berlaku berat sebelah sekiranya Mohamad Zabidin enggan melayani permohonan peguam belanya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Anwar memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi tetapi kemudian menariknya balik.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan