Warga Pakistan Rogol Anak Tiri Dihukum Penjara 17 Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun selepas disabitkan bersalah merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun, lima tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris juga memerintahkan supaya tertuduh yang berusia 28 tahun dan pernah bekerja sebagai pembantu restoran disebat sebanyak 12 kali atas kesalahan tersebut.

Hukuman penjara diarahkan untuk bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 11 September 2009.

Pada penghakimannya, Fathiyah yang mendengar keterangan empat saksi pembelaan berkata, pembelaan tersebut tidak mempunyai merit dan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Selain dirinya, tertuduh turut memanggil isterinya yang merupakan rakyat tempatan dan dua rakan untuk menyokong pembelaannya sementara pihak pendakwaan memanggil enam saksi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pada 31 Ogos 2006 sebelum mengulanginya pada 17 September 2006 dan pada 21 September 2006.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu rumah yang terletak di Jalan Thamby Abdullah, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada usaha mengurangkan hukuman, tertuduh merayu mahkamah mempertimbangkan keadaan dirinya sebelum menjatuhkan hukuman.

“Saya perlu menjaga ibu dan adiknya yang berada di Pakistan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah KM Abu Bakar pula memohon hukuman setimpal dijatuhkan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan menyebabkan mangsa trauma.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan