Tukang Cat Tawar Rasuah RM54,950 Dihukum Penjara 7 Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang tukang cat menyogok seorang pegawai polis bagi melepaskan diri daripada kesalahan dadah bukan sahaja tidak berjaya, sebaliknya dia dihukum penjara selama tujuh tahun bagi kesalahan tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozilah Salleh pada Jumaat, turut memerintahkan Yap Ten Ooi, 46, untuk membayar denda RM275,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara tiga tahun, jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Rozilah memutuskan pembelaan tertuduh bahawa dia tidak melakukan kesalahan itu kerana tidak tahu berbahasa Melayu gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Yap didakwa menawarkan wang tunai RM54, 950 kepada Ketua Inspektor M. Suresh yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 8.15 malam, 15 Julai 2010 di tempat letak kereta tingkat 4, Vista Mutiara, Off Jalan Kepong, di sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Suresh membebaskan tertuduh yang berasal dari Jenjarum, dekat sini daripada kesalahan memiliki dadah, iaitu syabu 67.22 gram, heroin 3.90 gram dan candu 25.43 gram.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh menerusi peguam Hermes Media Putra Ibrahim merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan ke atasnya kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada kerja kontrak yang diterima.

“Tertuduh tidak berkahwin dan mempunyai 11 adik-beradik serta ibu bapa yang sangat tua,” tambahnya.

Mohd Sophian pula memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang seberat-beratnya bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat untuk membenci kesalahan rasuah.

“Perbuatan tertuduh memberi rasuah seolah-olah merendah-rendahkan penjawat awam kerana berpendapat mereka akan menerima wang tersebut. Mesej yang perlu disampaikan adalah walaupun jumlah rasuah besar, penjawat awam tidak akan mengambilnya,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan