5 Pelajar Didakwa Buli Junior Di Asrama Direman

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan lima pelajar tingkatan tiga yang disyaki memukul seorang pelajar junior di asrama sebuah sekolah di sini pada Ahad lepas ditahan reman selama empat hari bermula Rabu.

Pendaftar Mahkamah Datin Chan Lee Fong memerintahkan semua pelajar berusia 15 tahun itu ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Baharom Abu berkata semua suspek ditahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

"Pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan sebelum mengemukakan kes ini kepada pihak pendakwaan untuk dituduh di mahkamah," katanya.

Dalam kejadian pada 6.55 petang itu, Mohd Syazwan Johari, 14, seorang pelajar tingkatan dua, retak tulang lutut kiri selepas dipukul lima pelajar tingkatan tiga di asrama sekolah itu.

Dalam kes lain, reman emat hari yang dikenakan terhadap seorang wanita berusia 28 tahun kerana didakwa menetak madunya di Kampung Baru, Sungai Korok, pada Jumaat lepas dilanjutkan empat hari lagi bermula Rabu.

Majistret Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin memerintahkan wanita itu direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan polis. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Sawaludin Hamenudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan parah dengan senjata.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Siti Aminah Hanafi, 54, cedera di kepala, muka serta tangan selepas ditetak, dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu antara suspek dan mangsa yang tinggal sebumbung sejak dua minggu lepas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan