Bekas Eksekutif Pembelian Proton Didakwa Terima Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 12 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif pembelian Proton mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Rabu, atas tujuh pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM3,028.27 daripada seorang pemilik syarikat perkhidmatan kejuruteraan dan pembekal alat ganti kereta, enam tahun lepas.

Fahmy Ameer Mohd Raf, 36, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 5, Wisma Nusantara, Jalan Puncak, Off Jalan P.Ramlee di sini antara 12 September 2005 hingga 15 Jun 2006.

Mengikut setiap kertas pertuduhan, dia menerima RM432.61 untuk bayaran ansuran keretanya daripada pemilik Syarikat Enrich Ford Sdn Bhd, Mohd Sharid Md Salleh sebagai balasan supaya tidak menghalang syarikat itu mendapatkan kerja daripada Proton.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosbiahanin Ariffin membenarkan Fahmy Ameer diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari depan untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Mohd Ossman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Shahrul Nizam Azwir merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana Fahmy Ameer tidak bekerja.

"Anak guam saya mempunyai seorang anak berumur lima tahun dan isterinya baru sahaja melahirkan anak kedua mereka.

"Isteri kepada anak guam saya juga tidak bekerja dan tertuduh hanya berharap kepada bapanya untuk menjadi penjamin," katanya.

Bapa tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan