Rayuan Bekas CEO Sime Bank Agar Hakim Tarik Diri Ditolak

Diterbitkan: Selasa, 11 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah rayuan di sini hari ini memerintahkan ketua Bahagian Khidmat Nasihat Pejabat Peguam Negara Datuk Khadijah Idris terus mendengar kes ketua pegawai eksekutif Sime Bank Berhad Datuk Ismail Zakaria yang dikenakan tuduhan mengikut Akta Perbankan dan Institusi Kewangan.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hasan Lah sebulat suara menolak rayuan Ismail dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi agar Khadijah terus mendengar kes berkenaan.

Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Ma'arop.

Perbicaraan kes itu bermula pada 15 Februari 2000 di hadapan Khadijah, yang ketika itu adalah hakim Mahkamah Sesyen.

Pada 2004, Khadijah selesai mendengar kes pihak pendakwaan sebelum beliau ditukarkan ke Pejabat Peguam Negara pada September 2001 sebagai penasihat undang-undang kepada Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 17 April 2003, Hakim Besar Malaya membenarkan Khadijah terus mendengar kes itu. Pada 1 Jun 2007, beliau dilantik sebagai Peguam Cara Perbendaharaan di Kementerian Kewangan. Sementara itu, hujah bertulis bagi kes Ismail yang dibuat pada 2005 dan keputusan penghakiman Khadijah pada 2007 untuk memanggil Ismail membela diri, dibaca oleh seorang lagi hakim Mahkamah Sesyen Datin Anita Harun.

Hanya selepas dua tahun tiga bulan, barulah Khadijah menyampaikan keputusannya tentang sama ada untuk memanggil Ismail membela diri. Beliau membuat keputusan itu ketika menjalankan tugas sebagai Peguam Cara Perbendaharaan.

Mahkamah Sesyen belum mendengar kes itu di peringkat membela diri.

Selepas itu, pihak pembela memfailkan permohonan agar Khadijah menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes berkenaan, tetapi beliau (Khadijah) menolak permohonan itu pada 6 Februari 2008.

Ismail mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 24 Mac 2009, menolak permohonan semakan semulanya untuk mengetepikan keputusan Khadijah menolak permohonan beliau agar Khadijah menarik diri daripada terus mendengar kes itu.

Ismail, 68, menghadapi empat tuduhan bertindak di luar skop syarat yang dikenakan ke atasnya oleh institusi berlesen dalam memberi pinjaman berjumlah RM175 juta kepada Everise Capital Sdn Bhd, sebuah syarikat pemegang pelaburan antara 20 Sept dan 21 Oktober 1997.

Beliau juga menghadapi tuduhan pilihan melakukan pecah amanah melibatkan dana RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta milik Sime Bank yang diamanahkan kepadanya pada tempat dan waktu yang sama. Hari ini, Hakim Hasan memerintahkan agar Khadijah mendengar kes itu hingga selesai.

Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan tiada kemungkinan wujud bahaya bahawa Khadijah akan bersikap berat sebelah sekiranya beliau terus mendengar kes itu.

Terdahulu, dalam prosiding rayuan berkenaan, peguam Datuk V. Sithambaram, yang mewakili Ismail, memohon agar kes itu didengar di hadapan hakim lain dengan memberi alasan bahawa bimbang akan wujud kemungkinan perbicaraan kesnya akan berat sebelah sekiranya Khadijah terus mendengarnya.

Alasan yang diberi agar Khadijah perlu menarik diri daripada mendengar kes itu ialah sebagai Peguam Cara Perbendaharaan, beliau perlu memberi nasihat perundangan kepada Kementerian Kewangan dan Bank Negara tentang penafsiran dan pelaksanaan undang-undang di bawah kementerian berkenaan dan Bank Negara.

Sithambaram berkata Bank Negara adalah agensi yang menjalankan penyiasatan tentang anak guamnya mengikut Akta Perbankan dan Institusi Kewangan berhubung tuduhan yang dikenakan terhadap Ismail.

Satu lagi alasan yang diberi ialah wujud percanggahan kepentingan kerana kini Khadijah juga adalah anggota AGC yang menjalankan pendakwaan dalam kes ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Murtazadi Amran berkata tugas Khadijah sebagai Peguam Cara Perbendaharaan hanya terhad kepada memberi nasihat tentang Akta, bukan berkaitan pendakwaan. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan