Permit Pasir: Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Dipenjara Enam Bulan

Diterbitkan: Selasa, 11 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang Penolong Pegawai Daerah dihukum penjara enam bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menerima rasuah RM10,000 daripada seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat berhubung permit pasir, dua tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhanizatuazwin Samsuri, 30, selepas berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mat Ghani membenarkan permohonan peguam K.Puspalingam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Norhanizatuazwin merupakan antara 38 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri pada tahun lepas berhubung isu permohonan permit pasir.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Trans Loyal Development Sdn Bhd di Jalan Bukit Mewah, Taman Bukit Mewah, Kajang, pada 12.30 tengah hari, 14 Mac 2009, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Norhanizatuazwin bersetuju menerima cek RM10,000 iaitu bayaran bagi peringkat 2(a) dan sebahagian peringkat 2 (b) rumahnya di C-4-25, Rumah Pangsa Kajang Impian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Winmont Develop Sdn Bhd Datuk Lau Kim Soo, sedangkan tertuduh tahu syarikat itu mempunyai hubung kait dengan tugasnya ketika kejadian, iaitu sebagai Penolong Pengarah Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat.

Winmont Develop adalah syarikat yang terbabit dalam kerja-kerja pengeluaran pasir di Sungai Long, Kajang, untuk dijual.

Sebelum ini, dia menghadapi tuduhan utama mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, bagaimanapun, pada 20 Oktober lepas, Norhanizatuazwin dibebaskan daripada pertuduhan tersebut dan sebaliknya, dia diperintah membela diri bagi pertuduhan pilihan di bawah Kanun Keseksaan.

Terdahulu, ketika memohon hukuman ringan, Puspalingam berkata anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selepas digantung kerja, dan dia terpaksa menyara anak serta ibu bapanya, selain membayar ansuran rumah.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Sinti pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Norhanizatuazwin dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan