Kes Syabas Saman Kerajaan Selangor RM471 Juta Didengar 11 Februari

Diterbitkan: Selasa, 11 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kes saman RM471.64 juta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terhadap kerajaan negeri Selangor berhubung perjanjian konsesi bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2009, akan didengar 11 Februari depan.

Saman pemula yang difailkan pada 10 November lepas menerusi Tetuan Soo Thien Ming itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Anathanam Kasinather.

Menerusi saman itu, Syabas menuntut satu deklarasi daripada mahkamah bahawa berdasarkan perjanjian konsesi bertarikh 15 Disember 2004, Selangor telah berhutang dengannya sebanyak RM471,642,916 bagi tempoh 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2009.

Sehubungan itu, Syabas menuntut kerajaan negeri Selangor membayar jumlah itu serta-merta.

Syabas berkata menerusi perjanjian bertarikh 15 Disember 2004 di antara kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Selangor dan syarikat itu, ia telah diberikan konsesi selama 30 tahun untuk membeli air terawat daripada operator rawatan air dan membekalkannya ke kawasan pengagihan menurut terma yang tertera dalam perjanjian tersebut.

Katanya, melalui surat bertarikh 31 Mac 2008, Syabas telah menghantar dokumen penyemakan kepada defendan bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada, iaitu RM1.39/m3 kepada tarif dipersetujui iaitu RM1.89/m3, bagi tempoh operasi ketiga mulai 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2011.

Syabas mendakwa defendan telah gagal untuk memaklumkan kepadanya sama ada ia bersetuju menaikkan tarif diwartakan yang sedia ada kepada tarif dipersetujui.

Kerajaan negeri Selangor juga didakwa gagal memberikan maklum balas yang memuaskan berhubung tuntutan pampasan oleh Syabas selaras dengan perjanjian konsesi tersebut.

Sementara itu, afidavit balasan kerajaan negeri Selangor yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Ramli Mahmud pula mendakwa permohonan Syabas itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, kerana industri air sedang melalui satu proses penstrukturan semula menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Ramli mendakwa perjanjian konsesi tidak memberikan hak automatik kepada Syabas untuk mendapatkan pengubahsuaian kepada tarif yang diwartakan pada setiap tarikh semakan seperti didakwa plaintif.

Katanya, semakan tarif perlu dibuat selaras dengan terma dan syarat di dalam perjanjian, antaranya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor perlu bersetuju dengan semakan itu.

Ramli turut mendakwa dokumen semakan yang diserahkan oleh Syabas tidak memenuhi keperluan perjanjian konsesi dan tidak ada tarif yang telah dipersetujui.

Oleh itu, katanya, tidak timbul isu bahawa kerajaan negeri Selangor bercadang mengenakan tarif lebih rendah daripada tarif dipersetujui seperti yang termaktub dalam perjanjian. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan