Pesawah Dipenjara Enam Tahun Kerana Cuba Bunuh Isteri

Diterbitkan: Isnin, 10 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pesawah hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba membunuh isterinya dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging, tahun lepas.

Hakim Noradidah Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohd Fitri Mat Isa, 36, di akhir kes pembelaan.

Noradidah, dalam keputusannya berkata kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius dan tidak boleh dipandang remeh.

"Sejak akhir-akhir ini, banyak dilaporkan di dada akhbar kejadian suami mencederakan isteri. Justeru, hukuman yang bakal diterima diharap bukan sahaja dapat memberi pengajaran kepada tertuduh, bahkan kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Noradidah turut memerintahkan hukuman itu bermula hari ini. Bagaimanapun beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan mengenakan syarat tambahan iaitu wang jaminan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Fitri didakwa cuba membunuh Nor Shamila Abdul Majeed, 36, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian kepada mangsa di rumah mereka di Blok B-07-10 Pangsapuri Sri Ampang, Taman Dagang Ampang, Ampang Jaya di sini pada 10.30 malam, 2 Feb 2010.

Mohd Fitri, yang ketika kejadian bekerja sebagai penjual pakaian terpakai di Pasar Chow Kit, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, peguam Fahri Azzat yang mewakili Mohd Fitri memohon supaya mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah tehadap anak guamnya kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

"Saya merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh telah menginsafi perbuatan yang dilakukan dan harus diberi peluang untuk membaiki diri.

Hubungan tertuduh dengan mangsa (Nor Shamila) semakin pulih dan mereka kerap berjumpa.

"Mangsa juga telah memaafkan tertuduh atas segala yang berlaku dan mangsa sendiri pernah membuat permohonan kepada pihak pendakwa raya untuk menarik balik pertuduhan terhadap suaminya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali memohon agar hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat tetakan pisau pemotong daging yang digunakan oleh suaminya. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan