Rasuah RM200,000: Bekas Pengurus Kanan Sime Darby Dibicara April

Diterbitkan: Jumaat, 7 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn Bhd yang didakwa atas tuduhan menerima rasuah RM200,000 daripada seorang pemilik syarikat pembinaan kapal akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini pada April depan.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan supaya perbicaraan terhadap Mazhazmi Jamaludin, 36, bermula pada 11, 12, 18, 25 dan 26 April depan.

Beliau yang menetapkan tarikh tersebut dengan persetujuan pihak-pihak turut memberi peringatan bahawa mahkamah tidak akan menerima alasan untuk menangguhkan kes di masa akan datang.

“Tiada penangguhan dibenarkan selepas tarikh ditetapkan melainkan dengan alasan-alasan yang dapat dipertimbangkan atas budi bicara mahkamah.

“Mahkamah tidak akan menerima alasan peguam berada di tempat lain dan mahkamah akan diteruskan tanpa kehadiran peguam,” katanya.

Pada prosiding itu, Mazhazmi diwakili peguam Shamsul Sulaiman manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Morais hadir bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, Kevin memaklumkan pihaknya telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada peguam dan dijadualkan akan mengemukakan 10 saksi pendakwaan.

Pada 21 Disember lalu, Mazhazmi didakwa menerima suapan wang tunai RM200,000 daripada pemilik syarikat MLC Shipbuildings Sdn Bhd, Redzuan Goh Mohammed Karian.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mencadangkan syarikat terbabit kepada Sime Darby dalam mendapatkan kontrak pembinaan dan penjualan tiga buah kapal tunda bernilai AS$134.2 juta (RM467.9 juta) dan sebagai balasan untuk dia mengesahkan bayaran tertentu bagi pembinaan kapal-kapal tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 1.25 dan 5 petang, 31 Disember 2008 di bilik mesyuarat syarikat tersebut di Megan Avenue 1, Blok C, 6-1, Jalan Tun Razak di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang dilepaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin hadir di mahkamah pada hari ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan