Edar Dadah: Dua Rakan Nasib Berbeza

Diterbitkan: Khamis, 6 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua rakan menerima nasib yang berbeza selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, melepas dan membebaskan salah seorang daripada tuduhan mengedar dadah manakala seorang lagi diarahkan untuk membela diri.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha membebaskan Omid Lashkavi Matjaba, 31, yang merupakan warga Iran selepas berpuas hati bahawa dia tidak mempunyai niat untuk mengedar dadah methamphetamine seberat 7.5 kilogram yang disorokkan di dalam sebuah beg.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan rakan senegara Omid, Hossein Nsiri Zahed Jalal, 50, yang merupakan seorang peniaga permaidani untuk membela diri atas tuduhan mengedar dadah tersebut.

Pada peghakimannya, Ghazali berkata, beliau mendapati Hossein mempunyai pengetahuan mengenai kunci dan juga mengenai isi kandungan beg yang berisi dadah tersebut.

Beliau menetapkan 7 Februari depan untuk tertuduh mula membela diri.

Peguam Hossein, Datuk N. Sivanathan memberitahu bahawa selain tertuduh, pihaknya akan turut memanggil isteri tertuduh yang merupakan rakyat tempatan untuk menyokong keterangan pembelaan tertuduh.

Hossein dan Omid sebelum ini dibicarakan bersama atas tuduhan mengedar dadah tersebut yang didakwa dilakukan di Pantai Hill Park, Pantai Dalam, di sini pada pukul 4.40 petang, 9 Mac 2010.

Omid baru beberapa jam tiba di negara ini dari Iran untuk bertemu Hossein sebelum dia ditangkap bagi kesalahan tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan