Suami Isteri Dihukum Gantung Sampai Mati Kerana Edar, Miliki Dadah

Diterbitkan: Rabu, 29 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri pada Rabu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dan memiliki sejumlah 165.62 gram dadah jenis heroin dan morfin dua tahun lepas.

Hakim Nurmala Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu didapati memiliki dadah berkenaan dalam sebuah rumah pangsapuri beralamat di Block 5-6-18 Desa Riang Batu Uban pada pukul 3.45 petang 3 Feb 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika bersabit kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakimannya, Nurmala berkata kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengedar dadah dan disebabkan undang-undang negara hanya ada satu hukuman iaitu hukuman mandatori, maka kedua-dua tertuduh digantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya G.Jaya Prem manakala tertuduh diwakili peguam G.Ravi Shankar.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan