Penganggur Pakistan Edar Dadah 8 Kg Dihukum Mati

Diterbitkan: Selasa, 28 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang penganggur dari Pakistan selepas mendapati dia bersalah mengedar lebih 8 kilogram dadah, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu terhadap Faisal Shah, 25, selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang diberikannya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tuduhan.

Keputusan itu dibuat selepas Mohd Yazid mendengar keterangan yang diberikan oleh lapan saksi pendakwaan manakala tertuduh memberikan keterangan secara bersumpah pada pembelaannya.

Tertuduh semasa itu mendakwa beg galas berwarna hitam yang berisi dua beg plastik biru mengandungi dadah itu sebenarnya dijumpai dalam tandas semasa dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Karachi, Pakistan.

Dia yang diwakili peguam Karpal Singh mendakwa datang ke negara ini untuk mencari kerja.

Faisal Shah didakwa mengedar 8410 gram dadah yang terdiri daripada campuran 7701 gram heroin dan 709 monoacetylmorphines pada pukul 12.40 tengah hari, 15 Julai 2009 di tempat mengambil bagasi C, Aras 3, Balai Ketibaan, KLIA, Sepang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan