Pakar Kecantikan Diarah Bela Diri Tuduhan Minta Rasuah RM50,000

Diterbitkan: Selasa, 28 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, memerintahkan seorang pakar kecantikan untuk membela diri atas tuduhan meminta dan menerima rasuah RM50,000 yang didakwa untuk diberikan kepada bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Kontinjen Selangor, Senior Asistan Komisioner II, Abu Bakar Mustaffa.

Hakim Balqis Aini Ali membuat keputusan itu terhadap Ong Lai Fong atau Nor Hidayah Jasmine Ong, 32, selepas berpuas hati pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan prima facie untuk dijawab oleh tertuduh.

Beliau menetapkan 28 Januari depan untuk Nor Hidayah Jasmine yang diwakili peguam R. Raja Kumar membela diri.

Tertuduh didakwa meminta suapan itu daripada Yeow Wai Yee yang dikatakan untuk diberikan kepada Abu Bakar sebagai dorongan bagi membebaskan suami Yeow, Chung Siew Ming yang semasa itu didakwa ditahan di lokap Balai Polis Shah Alam, dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 4.30 petang, 7 Jun 2004 di restoran Kentucky Fried Chicken, Kompleks membeli-belah One Utama, Bandar Utama, Damansara, dekat sini.

Dia juga didakwa menerima suapan itu pada pukul 3.30 petang, 10 Jun 2004 di tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulqarnain Hassan dan Muhammad Sinti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan