Kereta Dipandu Aminulrasyid Miliki Insurans, Cukai Jalan Sah

Diterbitkan: Selasa, 28 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis di Seksyen 11, April lepas, mempunyai insurans dan cukai jalan sah.

ASP Abdul Halim Ismail berkata semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan mendapati kereta itu memiliki cukai jalan dan insurans yang sah sehingga 14 Januari 2011.

Bagaimanapun, saksi ke-38 itu berkata beliau tidak menemui cukai jalan tersebut ketika membuat pemeriksaan bersama anggota Jabatan Forensik ke atas kereta yang dipandu Aminulrasyid di balai polis.

Abdul Halim berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian remaja itu antara 1.10 pagi hingga 2.00 pagi, 26 April lepas di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, Abdul Halim yang merupakan pegawai penyiasat kes itu, turut mengecam serta mengesahkan beberapa barang bukti yang diperoleh ketika menjalankan siasatan, antaranya parang, lapan kelopak dan dua laras HK MP5, selain 169 butir peluru sembilan milimeter.

Pada peringkat ini, Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan permohonan Mohd Dusuki untuk menangguhkan sebentar prosiding mahkamah bagi membolehkan saksi mengira semula kesemua peluru.

Abdul Halim mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan serta mengira peluru berkenaan, dan beliau sempat memberitahu pemberita bahawa ibu jari kanannya melecet ketika mengeluarkan peluru berkenaan.

Semasa prosiding mahkamah disambung semula pada lima petang, Mohd Dusuki memaklumkan bahawa selepas Abdul Halim, pendakwaan akan memanggil seorang lagi saksi iaitu seorang pemandu trak penunda, sebelum menutup kes itu esok. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan