Mekanik Sebabkan Kematian Dihukum Penjara 14 Tahun

Diterbitkan: Isnin, 27 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Isnin, memerintahkan seorang mekanik menjalani hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian suami kepada anak saudaranya dalam satu pertengkaran, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohammad memerintahkan supaya hukuman terhadap tertuduh, Lee Kon Maw, 43, bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu pada 11 September 2008.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Lee didakwa menyebabkan kematian Chew Hock Hwee, 41, pada pukul 12 tengah hari, 10 September 2008, di tempat letak kereta Blok H, Flat Taman Dagang, Ampang Jaya, dekat sini.

Pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Keterangan pada perbicaraan menyatakan, isteri mangsa melihat Lee dan Chew terlibat dalam satu pertengkaran di mana mangsa telah mengangkat botol minuman keras ke arah tertuduh.

Tertuduh kemudiannya dilihat telah menghayunkan satu objek sepanjang 2 kaki ke arah mangsa, yang disahkan mati akibat kecederaan parah di kepala akibat hentaman objek tumpul.

Selain itu, mangsa juga mengalami 24 kecederaan pada bahagian tubuh badan.

Terdahulu, peguam Mary Song Kim Moy memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap Lee atas alasan tertuduh telah mengaku bersalah sebaik sahaja pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

“Tertuduh juga bukan seorang penjenayah tegar dan kematian mangsa berpunca daripada tindakannya menyerang tertuduh,” katanya.

Mary juga berkata, tindakan tertuduh yang tidak membawa senjata pada hari kejadian dan hanya mengambil batang kayu dari pokok berhampiran menunjukkan niat tertuduh untuk mempertahankan diri.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh yang telah menyebabkan seorang individu kehilangan nyawa.

“Pengakuan salah tertuduh dibuat selepas lapan saksi pendakwaan selesai memberi keterangan di mahkamah,” katanya.

Wan Zuraida menambah, hukuman yang bakal dijatuhkan juga perlu memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat yang berhasrat melakukan kesalahan sama.

Selain itu, beliau juga memberitahu tertuduh hanya membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku sehari selepas kejadian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan