Wanita Sembunyi Dadah Pada Girdle Dihukum Mati

Diterbitkan: Jumaat, 24 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Helah seorang wanita dari Jogyakarta, Indonesia menyembunyikan dadah pada bahagian dalam girdle tidak dapat mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Selepas setahun, Nenggani Asmo, 47, yang merupakan peniaga pakaian dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, selepas disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar dadah tersebut.

Hakim Dr Badariah Sahamid pada penghakimannya menolak pembelaan ibu kepada dua orang anak itu yang mendakwa dia sebenarnya hanya melakukan kesalahan transit dadah dari Bangkok, Thailand untuk ke negara asal.

“Tertuduh mendakwa dadah itu diberikan oleh seorang lelaki berkulit hitam di Bangkok, bagaimanapun dia gagal untuk memberikan maklumat lanjut mengenai lelaki tersebut apabila disoal balas,” katanya.

Badariah juga memutuskan bahawa tertuduh mengetahui dan mempunyai pemilikan eksklusif terhadap dadah tersebut ekoran ia disembunyikan pada pakaian yang dipakai oleh tertuduh selama beberapa jam sebelum ditangkap.

“Saya dapati pembelaan tertuduh gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah manakala pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

“Oleh itu, saya sabitkan tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Salim Bashir kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan.

Dia didakwa mengedar 665.1 gram dadah terdiri daripada 616.5 gram heroin dan 48.6 monoacetlymorphines pada pukul 7 pagi, 17 Mac 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pusat pemeriksaan Link Bridge, KLIA, Sepang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan