Rasuah: Bekas Jurubahasa Mahkamah Dipenjara 2 Tahun, Denda RM15,000 - Berita Mahkamah | mStar

Rasuah: Bekas Jurubahasa Mahkamah Dipenjara 2 Tahun, Denda RM15,000

Diterbitkan: Selasa, 21 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Lazimnya, seorang jurubahasa mahkamah akan mendengar hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah, bagaimanapun pada Selasa, seorang jurubahasa mahkamah berdiri di dalam kandang pesalah untuk menerima hukuman.

M.Vasanthakumar, 40, yang telah berkhidmat selama 17 tahun dihukum penjara selama dua tahun dan denda RM15,000 atau penjara enam bulan jika gagal selepas disabitkan bersalah menerima rasuah untuk mengubah nota keterangan mahkamah.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azhaniz Teh Azman Teh selepas menyabitkan tertuduh bersalah seperti pertuduhan.

Beliau juga membenarkan permohonan peguam Hanif Khatri Abdullah yang mewakili tertuduh untuk menggantungkan pelaksanaan hukuman penjara kerana akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada M.Manickavasagam pada pukul 12.45 tengah hari, 5 Januari 2004, di bilik jurubahasa Mahkamah Sesyen Klang, Kompleks Mahkamah di sini.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk dia mengubah nota keterangan bagi meringankan hukuman terhadap dua adik ipar Manickavasagam pada peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi selepas dihukum oleh Mahkamah Sesyen Klang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada rayuan peringanan hukuman, Hanif Khatri memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh mempunyai seorang isteri dan anak yang berusia lima tahun.

"Tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan tidak mempunyai rekod di Jabatan Perkhidmatan Awam. Dia juga sering hadir ke mahkamah dan tidak pernah memberi masalah.

"Berhubung hukuman denda, tertuduh memohon dibenarkan untuk menjelaskan denda secara ansuran sebanyak tiga kali," tambahnnya. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Mazni Noh yang menyebut bagi pihak Pegawai Pendakwa Azuan Adzhar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

"Mahkamah tidak boleh bersimpati dengan kesusahan tertuduh dan mohon diberikan hukuman yang akan memberi pengajaran," katanya.

Azhaniz Teh menolak permohonan tertuduh untuk menjelaskan denda secara ansuran dan memerintahkan supaya hukuman itu dibayar selewat-lewatnya Rabu.

Pada tahun lepas, Vasanthakumar dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meminta rasuah RM3,000 daripada Manickavasagam yang didakwa dilakukan pada pukul 1 petang, 24 Disember 2004 di bilik jurubahasa mahkamah yang sama.

Dia dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 2 Julai 2004.

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan