Curi Enjin Jet: Tharmendran Tetap Dibicara

Diterbitkan: Jumaat, 17 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), N. Tharmendran akan tetap dibicarakan selepas Mahkamah Tinggi di sini Jumaat, menolak permohonannya untuk mendapatkan penggantungan kekal terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas tidak bersetuju dengan hujahan peguam bela Tharmendran, N.Surendran bahawa terdapat campur tangan luar terhadap prosiding mahkamah.

Selain itu, Asmabi juga menolak hujahan Surendran yang membangkitkan isu kelewatan selama enam bulan dalam proses pendakwaan terhadap Tharmendran.

“Tiada garis masa dalam pendakwaan. Pendakwaan boleh mendakwa pada bila-bila masa selagi ia munasabah. Saya tidak berpendapat tempoh masa ini sebagai sesuatu yang tidak munasabah,” tambahnya. Tharmendran, yang bertugas di Kem Sungai Besi, dekat sini ditahan pada bulan Julai 2009, tetapi didakwa kali pertama di mahkamah pada 6 Januari lalu.

Pada penghakimannya, Asmabi turut menyentuh dakwaan berlaku penderaan fizikal terhadap Tharmendran yang didakwa dilakukan oleh dua mejar itu ialah Pegawai Staf 1 Siasatan di Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM, Mejar Ismail Omar dan Pegawai Staf 2, Mejar Norazan Md Amin.

“Laporan dan bukti yang dikemukakan di mahkamah ini gagal untuk menunjukkan bahawa Tharmendran disiasat oleh TUDM, sebaliknya siasatan pihak polis yang membawa kepada pertuduhan ini,” katanya.

Asmabi yang turut tidak menolak dakwaan tersebut sepenuhnya menambah, Tharmendran boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap dua mejar tersebut. Tharmendran yang kini ditahan di Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen atas dakwaan meninggalkan tugas tiba di mahkamah pada pukul 8.25 pagi, dengan menaiki van TUDM dan dikawal oleh tiga anggota beruniform.

Sementara itu, Surendran ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan berbincang dengan Tharmendran, sekiranya dia berhasrat untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

“Kami juga akan mempertimbangkan sekiranya akan mengambil tindakan sivil terhadap dua mejar yang didakwa telah melakukan penderaan fizikal itu,” katanya.

Beliau juga memberitahu, kes itu telah ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini pada 28 Disember ini.

Selain kes jenayah, Tharmendran juga telah memfailkan permohonnan habeas corpus untuk mendapatkan perintah pembebasan segera yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dekat sini pada 4 Januari depan.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, tetapi telah ditahan semula oleh TUDM pada 25 November lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan