Lelaki Cabul Anak Angkat Dipenjara 45 Bulan

Diterbitkan: Khamis, 16 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Seorang pemandu lori tergamak mengkhianati amanah ke atasnya dengan mencabul anak angkatnya yang berusia 13 tahun, tiga tahun yang lalu.

Tertuduh yang berusia 43 tahun itu menerima balasan atas perbuatannya apabila Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, menjatuhkan hukuman penjara 45 bulan dan dua sebatan ke atasnya.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa antara Januari dan Disember 2007 di Kampung Delek Kiri, di sini.

Dia ditangkap pada 2 April 2008 dan pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 356 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana gagal memikul amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.

“Tertuduh tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan baik. Keluarga mangsa memberikan harapan untuk tertuduh memelihara mangsa sebaik-baiknya,” katanya.

Pada rayuan peringanan hukuman, tertuduh mendakwa dirinya dikhianati isteri dan kegagalannya untuk menegakkan kebenaran adalah disebabkan dia tidak mampu untuk mengupah seorang peguam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan