Kes Pembunuhan Sosilawati Ditangguh Ke 27 Januari

Diterbitkan: Khamis, 16 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain ditetapkan untuk sebutan semula di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada 27 Januari depan.

Majistret Hurman Hussain menetapkan tarikh tersebut selepas semua pihak sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan kes pada Khamis, kepada tarikh yang baru.

Ini berikutan terdapat permohonan rayuan dan semakan kehakiman yang difailkan oleh dua orang pekerja ladang, K.Sarawanan dan T. Suresh yang telah mengaku bersalah atas pertuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan tersebut.

Permohonan itu akan didengar pada 10 Januari depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Moktarudin Baki.

“Kami memohon ditetapkan satu tarikh sebutan baru pada hujung Januari. Pihak peguam tiada bantahan terhadap permohonan ini,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff pada prosiding pagi Khamis.

Beliau juga memberitahu, pihak pendakwaan yang turut dibarisi oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani dan Saiful Edris Zainudin telah menyediakan semua dokumen dan laporan yang berkaitan dengan kes yang mendapat liputan meluas itu.

Sosilawati, 47, yang merupakan pemilik syarikat Nouvelle Visages Beauty Sdn Bhd mati akibat dibunuh bersama pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisyam Mohamad, 38, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka dilaporkan hilang selepas bertolak ke Banting untuk bertemu seorang peguam dipercayai untuk berbincang mengenai urusan jual beli tanah.

Pada 13 Oktober lalu, peguam, N. Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R.Kathavarayan, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh kesemua mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pathmanabhan diwakili oleh peguam Manjeet Singh Dhillon, Thilaiyalagan (peguam Gurbachan Singh) Matan (peguam Amer Hamzah Arshad) dan Kathavarayan (peguam Ravi Nekoo).

Turut menyertai barisan pembelaan ialah peguam-peguam Puspha Ratham dan Datuk Ng See Teong.

Pada prosiding sama, Ravi memaklumkan bahawa anak guamnya telah dipukul semasa berada di dalam tahanan reman di Penjara.

Hurman memberitahu, Kathavarayan perlu membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Turut berada di mahkamah ialah adik kepada Noorhisyam yang enggan ditemu bual oleh media.

Sementara itu, Amer Hamzah yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan melawat Ladang Gadong, yang didakwa tempat berlakunya pembunuhan tersebut.

“Kami telah membuat permohonan kepada pihak pendakwaan untuk melawat tempat tersebut, dan kebenaran telah diperoleh,” katanya.

Tinjauan mendapati mereka memasuki ladang tersebut pada pukul 10.45 pagi dan keluar pada pukul 11.20 pagi.

Selepas melawat lokasi tersebut, Amer Hamzah memberitahu, ia merupakan kali pertama barisan pembelaan melawat lokasi kejadian.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan untuk menyediakan pembelaan dan difahamkan lawatan sama akan dilakukan di lokasi-lokasi lain, seperti tempat penemuan bukti pembunuhan itu.

Pada 15 Oktober lalu, Sarawanan, 19, mengaku salah membakar mayat mangsa manakala Suresh, 26, mengaku salah bagi pertuduhan membuang abu mayat mangsa ke dalam Sungai Panchau, di sini.

Atas pengakuan itu, Hurman memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun, iaitu hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Hukuman diperintahkan bermula daripada tarikh tangkap, iaitu 9 September lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, Sarawanan menerusi peguam A.S. Dhaliwal memfailkan notis usul bagi mengemukakan bukti baru kerana mendakwa berlaku paksaan yang menyebabkan dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret.

Permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan