Bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen Didapati Bersalah Terima Rasuah

Diterbitkan: Khamis, 16 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Pengarah 1 Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis, terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China.

Mahkamah kemudian menetapkan Isnin untuk menjatuhkan hukuman.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berjaya membuktikan pertuduhan terhadap Yusof, 56, melampaui keraguan munasabah.

Pada 14 Oktober 2008, Yusof didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama.Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 14 November 2008, Yusof yang diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said turut didakwa di Mahkamah Sesyen Klang terhadap empat pertuduhan yang sama dan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melibatkan pertuduhan yang sama.

Kesemua kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bermula pada 22 Februari lalu untuk perbicaraan. Seramai 15 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang kes itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan