Permohonan Habeas Corpus Sarjan Tharmendran Didengar 4 Januari

Diterbitkan: Jumaat, 10 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan habeas corpus yang difailkan oleh seorang Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), N. Tharmendran untuk mendapatkan perintah pembebasan segera kerana mendakwa penahanannya oleh Menteri Pertahanan dibuat secara salah akan didengar pada 4 Januari depan.

Permohonan itu pada asalnya dijadualkan didengar pada Jumaat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Su Geok Yiam, tetapi media dimaklumkan perubahan tersebut oleh peguam Tharmendran, N.Surendran.

“Pendengaran permohonan tersebut ditangguhkan bagi memberi masa kepada semua responden untuk memfailkan afidavit balasan kerana mereka masih belum lagi berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi.

Surendran juga memberitahu, beliau tidak akan bertindak sebagai peguam dalam permohonan habeas corpus memandangkan beliau telah memfailkan afidavit sokongan dan akan menjadi saksi dalam pendengaran itu.

“Tharmendran akan diwakili oleh peguam Amer Hamzah Arshad,” tambahnya.

Penahanan Tharmendran pada 25 November lalu dibuat di hadapan Surendran di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam, dekat sini, semasa dia sedang bersiap untuk meninggalkan mahkamah.

Sehari selepas itu, Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus menamakan Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli, iaitu pegawai yang menahannya, Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan Malaysia sebagai responden-responden.

Responden diwakili oleh Penolong Penasihat Undang-Undang dari Kementerian Pertahanan, Mohamad Tarmizi Ahmad.

Tharmendran melalui afidavit sokongannya mendakwa, penahanan yang berlaku di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam, dekat sini, adalah berniat jahat, dilakukan di luar bidang kuasa dan menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi kementerian tersebut menyatakan Tharmendran ditahan atas alasan meninggalkan tugas di bawah Seksyen 54, Akta Angkatan Tentera 1972.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes kecurian dua enjit pesawat milik TUDM bagi menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung permohonan Tharmendran untuk mengantungkan secara kekal pertuduhan yang dihadapinya.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 bernilai RM607,140, pada 2007 dan 2008.

Dia didakwa berbuat demikian di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan