Mahkamah Kekal Pembebasan Pengarah Daripada Tuduhan Lupus Cek

Diterbitkan: Rabu, 8 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pelepasan dan pembebasan pengarah akaun Syarikat Canang Aoll Sdn Bhd, Rusni Zainal daripada 25 pertuduhan membantu melupuskan cek Perbendaharaan Kerajaan Pulau Pinang berjumlah RM430,400 enam tahun lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas menilai rekod rayuan dan alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Sesyen Rozana Ali Yusoff serta menilai semua keterangan termasuk kredibiliti saksi-saksi.

Perayu dalam kes ini yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusof mengemukakan rayuan terhadap keputusan Rozana melepas dan membebaskan Rusni, 63, tanpa dipanggil membela diri pada 31 Dis 2009.

Dalam penghakimannya Su berkata, hakim tersebut tidak terkhilaf daripada segi undang-undang dan fakta ketika membuat keputusan itu.

Rusni, yang diwakili peguam bela Datuk Suhaimi Kamarudin, kelihatan gembira ketika mendengar keputusan mahkamah.

Dia didakwa dengan sukarela membantu melupuskan wang tunai itu melalui akaun milik Naaim Ahmad di Maybank Cawangan Kuala Lumpur, dan akaun Hamidonna Asmaliz Abdul Hamid di Maybank Cawangan Jalan Bangsar Baru di Brickfields antara 15 dan 22 Sept 2003. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan