AminulRasyid Enggan Berhentikan Kereta, Himpit Kereta Polis Hingga Hampir Terbabas

Diterbitkan: Rabu, 8 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak di kepala, bukan sahaja ingkar arahan polis supaya memberhentikan kereta yang dipandu, malah bertindak menghimpit kereta peronda polis sehingga hampir terbabas di tepi jalan.

Konstabel Mohd Izham Mahayadin yang bertugas di cawangan kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Seksyen 11 di sini, berkata beliau telah memberi arahan kepada pemandu Proton Iswara putih bernombor pendaftaran BET 5023 supaya memberhentikan kenderaan di tepi jalan tetapi pemandu kereta itu enggan berbuat demikian malah meningkatkan kelajuan pemanduannya.

"Kereta Iswara itu memintas kami dalam keadaan laju di Persiaran Dato' Menteri berhampiran dengan Kompleks PKNS dan pemandu kereta peronda Koperal Azhar Hashim terus kejar kereta Iswara setelah memberitahu kereta itu telah langgar lampu isyarat merah.

"Azhar telah pasang siren dan lampu bacon manakala saya telah keluarkan arahan melalui mikrofon di kereta peronda kira-kira tiga kali supaya pemandu kereta Iswara itu perlahankan kereta dan berhenti di tepi jalan tetapi tidak ada tanda untuk berhenti malah nampak semakin laju," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Mohd Izham memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas.

Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi ke-28 pendakwaan itu berkata setelah kereta Iswara itu enggan berhenti, beliau dan Azhar terus mengejar kenderaan tersebut sehingga berlaku himpit-menghimpit antara mereka di Persiaran Masjid.

"Ketika kereta kami cuba memintas ke arah kanan kereta Iswara, kereta itu menghimpit kami supaya kami tidak dapat memotongnya dan perkara itu berlaku kira-kira tiga kali. Ada ketika kereta peronda kami hampir terbabas naik ke pembahagi jalan," katanya sambil menambah beliau turut meminta bantuan daripada kereta peronda polis lain yang berada berhampiran.

Seterusnya, Mohd Izham berkata tiba di simpang empat lampu isyarat berhadapan dengan Hotel Concorde di Seksyen 9, kereta Iswara tersebut sekali lagi melanggar lampu isyarat merah dan membelok masuk ke Persiaran Kayangan di mana sebuah lagi kereta peronda polis dilihat turut mengejar kereta Iswara tersebut.

Saksi itu berkata ketika di Persiaran Kayangan, kedua-dua kereta peronda tersebut beberapa kali cuba memintas kereta Iswara itu namun gagal sehinggalah mereka tiba di Bulatan Kayangan di mana kereta Iswara tersebut sekali lagi gagal berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

"Di Bulatan Kayangan, kedua-dua kereta peronda dalam keadaan bersaing di kiri dan kanan di belakang kereta Iswara itu.

"Apabila kami cuba menghimpit, kereta Iswara itu menghimpit kembali menyebabkan kereta peronda hampir terbabas.

"Ketika kereta peronda saya berada di belah kanan kereta Iswara itu, saya telah keluarkan separuh badan saya dan lepaskan tembakan ke arah tayar kanan belakang kereta itu.

"Saya tidak pasti berapa das tembakan saya lepaskan tetapi selepas saya pulangkan semula senjata kepada stor persenjataan barulah saya dimaklumkan 10 butir peluru telah digunakan semasa tembakan itu," katanya.

Sementara itu, Muhamad Azamuddin Omar, 15, rakan Aminulrasyid yang turut berada di dalam kereta dipandu mangsa semasa kejadian, ketika menyambung keterangannya berkata beliau pada bila-bila masa tidak pernah melihat parang di dalam kereta Iswara itu.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani menunjukkan sebilah parang yang merupakan barang kes dalam perbicaraan itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata beliau tidak pernah melihatnya.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan